Tuesday, October 16, 2012

Kanser Kolorektal (Kanser Usus)


Kanser Kolorektal (Kanser Usus)

SIMPTOM buasir sering disalah anggap sebagai kanser kolorektal iaitu gabungan kanser kolon dan rektal. Bukan hanya kerana kedudukannya sama ada di luar dubur atau di hujung salur najis, tetapi rupanya yang bengkak dan tersembul keluar memang nampak seperti ketumbuhan menakutkan.

Malah, simptom buasir seperti sukar membuang air besar, rasa tidak puas walaupun berkali-kali berulang ke tandas dan najis berdarah mungkin boleh menjadi petanda awal penyakit lain seperti kanser kolorektal.

Bagaimanapun, buasir bukan penyebab kanser kolorektal dan tiada kaitan dengan penyakit berbahaya itu.

Kanser kolorektal adalah kanser ketiga biasa di dunia selepas paru-paru dan payudara, dengan anggaran kira-kira 3,500 kes baru setiap tahun di negara ini.

Kanser kolorektal adalah istilah merujuk kepada kanser yang bermula dalam usus atau rektum (bahagian akhir usus besar yang menyimpan bahan buangan sebelum ia dibuang sebagai najis).

Setiausaha Persatuan Onkologi Malaysia, Dr Mohamed Ibrahim Wahid, berkata kanser usus adalah sel malignan yang hidup di dinding usus (atau rektum) yang bermula dengan polip (ketulan kecil), membesar menjadi tumor dan akhirnya berubah kepada kanser.

Proses ini mengambil masa bertahun-tahun tetapi ramai membiarkannya berlaku. Walaupun menyedari mereka mula mengalami masalah membuang air besar, ramai beranggapan ia perkara normal.

Peringkat awal kanser usus mungkin tidak menunjukkan simptom, tetapi apabila polip mula membesar menjadi tumor, ia boleh menyekat laluan usus dan mungkin menyebabkan pendarahan; iaitu antara simptom kanser.

Antara simptom lain termasuk berak berdarah, perubahan pada bentuk najis (sama ada menjadi semakin kecil atau nipis), perut rasa memulas, terasa asyik hendak buang air besar (walaupun sebenarnya tidak perlu), perut rasa tidak selesa (kembung atau senak), muntah, hilang selera makan tanpa alasan tertentu dan sentiasa rasa penat. Pada keadaan serius, pesakit tidak boleh buang air langsung kerana pembengkakan pada rektum menghalang laluan najis keluar.

"Tanda paling nyata ialah apabila jadual buang air besar berubah, cepat penat dan berat badan menurun tanpa sebab. Di kalangan pesakit muda, simptom ini sering disalah diagnos sebagai sakit perut atau gastrik.

"Jadual ke tandas ini juga berbeza antara individu. Jangan bandingkan jadual kita dengan orang lain kerana ada orang hanya pergi tandas seminggu sekali dan itu adalah normal baginya. Apabila jadual ini berubah, contohnya kepada sebulan dua minggu sekali dan disertakan simptom lain, segeralah berjumpa doktor," katanya dalam seminar kesihatan anjuran Pfizer Malaysia.

Puncanya masih tidak difahami sepenuhnya, tetapi banyak faktor dikatakan menyumbang kepada kanser kolorektal. Antaranya:

# Umur - Golongan berumur 40 tahun ke atas lebih berisiko. Lebih 90 peratus kes kanser kolorektal di Malaysia memb a b i tkan pesakit berumur 40 tahun ke atas.

# Polip - Kebanyakan kanser kolorektal bermula dengan polip. Ketumbuhan bukan kanser ini tumbuh pada dinding usus besar dan sesetengah polip boleh berubah menjadi kanser. Jika ia dapat dikesan, polip ini akan dibuang, walaupun ia tidak berbahaya.

# Sejarah keluarga - Individu yang ada ahli keluarga mendapat kanser kolorektal juga berisiko tinggi mengalami masalah sama.

# Sejarah diri - Wanita yang pernah menghidap kanser lain seperti payudara, ovari atau uterus juga boleh mendapat kanser kolorektal.

# Pemakanan - Pemakanan yang kaya lemak dan kurang serat juga dikatakan boleh menyebabkan kanser usus.

# Rokok - Merokok meningkatkan risiko pembentukan polip.

# Berat badan dan aktiviti fizikal Individu yang kurang bersenam dan obes meningkatkan risiko mereka mendapat kanser. Bersenam memudahkan anda untuk buang air besar.

# Ubat antiradang bukan steroid (NSAIDs) dikatakan boleh mengurangkan risiko pembentukan polip.

# Orang Cina lebih ramai mendapat kanser kolorektal, tetapi orang Melayu mendapatnya pada umur lebih muda.

Perunding Pembedahan Kolorektal, Dr Aktar Qureshi, berkata sindrom keluarga kanser iaitu sama ada tiga ahli keluarga mendapat kanser (payudara, usus, ovari atau endometriosis); atau dua ahli keluarga terdekat (ayah, ibu atau adik-beradik mendapat kanser) atau seorang ahli keluarga mendapat kanser sebelum berumur 50 tahun adalah keluarga berisiko tinggi mendapat kanser kolorektal.

Katanya, pada forum kesihatan umum anjuran Pusat Perubatan Sunway, kanser kolorektal didiagnos melalui dua cara iaitu kolonoskopi (memeriksa seluruh usus menggunakan alat khas yang dimasukkan ke dalam dubur) dan kolonoskopi virtual secara imbasan Scan.

Walaupun kaedah kedua lebih canggih, cepat dan kurang risiko, ia tidak dapat memastikan saiz sebenar ketumbuhan dalam usus. Malah, alat kolonoskopi biasa masih perlu digunakan untuk membuang polip dalam usus.

Sebagaimana kanser lain, kanser kolorektal dirawat secara pembedahan (dipanggil kolostomi untuk membuang ketumbuhan, sebahagian usus dan nodus limfa yang berhampiran), kemoterapi dan radioterapi.

"Kekerapan untuk pemeriksaan kesihatan usus bergantung kepada faktor risiko dihadapi seseorang, tetapi biasanya lima atau enam tahun sekali sudah memadai kerana kanser kolorektal mengambil masa kira-kira lapan tahun untuk berkembang," katanya.

Walaupun tiada kaedah khusus untuk mengelakkan kanser kolorektal, kita boleh merendahkan risiko dengan mengamalkan pemakanan kaya serat, bersenam selalu dan kekalkan berat badan seimbang.

Sumber: Blog Artikel Pilihan
http://bernama548.blogspot.com/2011/07/kanser-kolorektal-kanser-usus.html

No comments:

Post a Comment