Amsterdam:
Benfica mungkin lebih berbakat daripada Chelsea, tetapi masih dilabel sebagai
pasukan bukan pilihan pada final Piala Europa awal pagi esok, menurut bekas
ketua jurulatih England Sven-Goran Eriksson.
Pengendali
dari Sweden itu mengetahui kemampuan Benfica selepas dua kali membimbing kelab
yang pernah memenangi dua kejuaraan Eropah itu.
“Sudah pasti Chelsea pilihan kerana memiliki pasukan seimbang dan antara pemain
termahal, tapi pada pendapat saya teknik permainan Benfica lebih baik.
“Teknik
permainan Benfica lebih tajam. Mereka mengawal bola dengan baik dan sentiasa
beraksi cemerlang,” katanya kepada akhbar harian aBola.
Juara Eropah 1961 dan 1962 itu bergantung kepada jentera tengah berkualiti
Eduardo Salvio, Nicolas Gaitan, Pablo Aimar, Ola John dan Nemanja Matic untuk
membuat hantaran kepada jentera serangan diketuai Oscar Cardozo yang
bergandingan dengan Rodrigo Lima.
Gandingan Cardozo dan Lima setakat ini sudah meledak 71 daripada keseluruhan 118
gol musim ini.
LIMA
jadi taruhan robek gawang Chelsea.
Eriksson
yang membimbing pasukan itu ketika juara Portugal itu tewas 0-1 kepada AC Milan
pada final Piala Eropah 1990 di Vienna percaya Benfica akan melupakan segera
kekalahan 1-2 kepada seteru utama, Porto, Sabtu lalu.
Kedua-dua pasukan itu tidak pernah tewas sebelum turun mengharungi perlawanan
itu dan kemenangan Porto menyaksikan mereka berada di landasan tepat untuk
merangkul kejuaraan domestik.
“Final
kejohanan Eropah sangat unik. Sebaik saja mereka bersiap sedia untuk
pertembungan final, kekalahan kepada Porto pasti segera dilupakan.” Eriksson
begitu hampir menghadiahkan tiga kejuaraan untuk Benfica pada 1983 apabila
memenangi dua kejuaraan domestik tapi tewas 1-2 secara agregat kepada
Anderlecht pada final Piala UEFA yang berlangsung secara timbal balik.
Pengendali dari Sweden itu pernah menikmati kejuaraan Liga Portugal tiga kali
sepanjang dua kali membimbing kelab itu.
Pemain tengah Argentina Enzo Perez turut percaya Benfica akan segera lupakan
kekalahan kepada Porto.
“Pasukan memang kecewa tapi kami percaya kekecewaan itu akan ditebus apabila
bertemu Chelsea. Kami hanya perlu percaya kepada diri sendiri,” kata Perez.
Benfica mempunyai memori indah di Amsterdam apabila memenangi Piala Eropah buat
kali terakhir ketika menewaskan Real Madrid pada 1962.
Sementara itu, pemain perancang Juan Mata mahu Chelsea menamatkan musim ini
dengan memenangi Piala Europa dan mengesahkan kedudukan di tangga ketiga pada
saingan Liga Perdana Inggeris jika mampu menewaskan Everton di tempat sendiri,
Ahad ini.
“Musim ini hampir berakhir dan mungkin kami bakal menikmati penamat terbaik.
“Kami mahu memenangi takhta Eropah dan mengesahkan tiket ke Liga Juara-Juara
musim depan.
“Inilah kali kedua dalam tempoh dua musim di Chelsea, kami akan beraksi untuk
merebut trofi Eropah. Sudah tentu amat hebat jika menang dua takhta Eropah
berturut-turut,” katanya. - Reuters
Sumber: myMetro
Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/15