Chelsea berjaya mengelak daripada menjadi mangsa terbaru pada saingan Piala FA apabila juara bertahan itu melangkah ke pusingan kelima selepas mencatat kemenangan 4-0 ke atas pasukan Divisyen Satu, Brentford semalam.
Arsenal, Tottenham dan Liverpool adalah antara kelab gergasi Liga Perdana Inggeris yang dimalukan pasukan liga bawahan musim ini, tetapi Chelsea bermula hambar.
Mujur jaringan pada separuh kedua menerusi Juan Mata, Oscar, Frank Lampard dan John Terry pada perlawanan ulangan semalam selepas sekadar seri 2-2 di Brentford sebelum ini, menggembirakan penyokong di Stamford Bridge.
Masih terlalu awal untuk melabelkan pasukan kendalian Rafael Benitez kembali berada di landasan tepat selepas melalui kempen yang tidak konsisten, namun sekurang-kurangnya keputusan itu mengelak mereka daripada malu di hadapan penyokong sendiri.
Chelsea yang memenangi Piala FA sebanyak empat kali sepanjang enam musim terakhir, akan berkunjung ke pasukan Liga Kejuaraan, Middlesbrough untuk menghadapi perlawanan pusingan kelima pada 27 Februari ini.
Terry, kapten Blues yang baru pulih daripada kecederaan lutut, adalah antara pemain utama yang membarisi skuad Chelsea sekali gus membuktikan betapa Benitez begitu menghormati lawan mereka itu selepas berjaya mengikat kedudukan seri 2-2 di Griffin Park.
Chelsea dilihat bergelut pada babak pertama dengan cubaan Branislav Ivanovic tersasar, begitu juga tandukan Mata.
Lampard juga beraksi cemerlang apabila melorongkan bola cantik kepada Oscar, namun rembatan jarak dekat pemain Brazil itu berjaya dinafikan pertahanan lawan, Harlee Dean. Aksi hambar Chelsea itu di bawah kendalian Benitez semakin menyukarkan bekas pengendali Liverpool itu dalam usahanya untuk memenangi hati peminat dan mereka sekali lagi secara terbuka mengejek pengendali dari Sepanyol itu di dalam stadium sebagai rasa tidak puas hati pemecatan pengurus terdahulu, Roberto Di Matteo.
Chelsea bangkit pada separuh masa kedua menerusi gol pertama Mata yang merembat deras menewaskan penjaga gol Brentford, Simon Moore pada minit ke-54. Gol pertama itu mengurangkan tekanan Chelsea yang kemudiannya terus membunuh aksi cemerlang Brentford.
Oscar menambah gol kedua pada minit ke-68 sebelum Lampard menjadikan kedudukan 3-0 pada minit ke-72.
Gol itu adalah jaringan ke-199 peribadinya sepanjang bersama Chelsea sekali gus menjadikannya penjaring terbanyak kelab pada saingan Piala FA.
Terry menambah derita Brentford apabila menambah gol keempat pada minit ke-81.
No comments:
Post a Comment