Friday, February 22, 2013

Jin Lim ingin mencabar diri (myMetro)


HANYA di Malaysia kita boleh lihat majoriti penunggang motosikal mengenakan jaket terbalik malah mempunyai sistem 'hands free' pada topi keledar ketika menjawab panggilan telefon sambil mengendalikan motosikal mereka.
Hanya di Malaysia juga wujudnya 'kuasa tangan' yang mana tangan digunakan untuk menahan kenderaan ketika melintas, memasuki premis atau apabila tidak dapat bercakap kerana sibuk memeriksa akaun sosial di telefon bimbit.
Tidak ketinggalan hanya di Malaysia kita boleh dengar panggilan 'bos', 'uncle' dan 'auntie' yang menjadi antara bahasa panggilan diri popular dalam kalangan semua generasi ketika melakukan aktiviti harian sama ada hendak membeli rojak, ikan, raket tenis serta bertegur sapa dengan pembeli lain di jalanan.

Hanya di Malaysia jugalah kita sentiasa harapkan hadiah atau barangan percuma setiap kali membeli apa saja produk, walaupun barangan percuma itu hanya sehelai kain pengelap kamera.
Foto

Pelik tapi senario ini berlaku setiap hari dalam kehidupan masyarakat Malaysia dan ia digarap penuh komedi dalam video Only In Malaysia yang kini mencatat jumlah tontonan lebih 4 juta di laman YouTube.

"Got free gift ah?" antara soalan awal yang terpacul dari mulut penulis kala berpeluang bertemu lelaki di sebalik tabir video viral itu di Balai Berita, baru-baru ini. 

Benar telahan penulis bahawa lelaki ini, Jin Lim, seorang yang pandai bercerita dan tidak gusar dalam meluahkan pendapatnya.

"Sejujurnya saya lelaki normal, jauh sekali kelakar. Tapi saya hairan mengapa ramai yang mengatakan saya kelakar selepas menonton video saya di YouTube.

"Sebahagian besar video saya memang bergenre komedi dan sinis tapi sebenarnya banyak kisah serta teladan yang tersirat di dalamnya," ujar Jin memulakan bicara kami lewat petang itu.


Radio ke video

Bagi pendengar dan peminat saluran radio Hitz.fm, namanya bukan baru dalam industri. Bermula di bahagian promosi sejurus kembali ke tanah air selepas melanjutkan pelajaran di Australia, Jin meneruskan kariernya di bidang penyiaran radio dengan harapan dapat meningkatkan lagi tahap keyakinan diri.

"Saya sebenarnya pemalu dan disebabkan itu saya lebih suka kerja di belakang tabir. Tapi sejak bersama Hitz.fm, saya berjaya memperbaikinya malah bekerja di bidang ini banyak memberi peluang untuk meluahkan rasa hati selain membuka peluang lebih besar dalam hidup saya.

"Asalnya saya ingin menjadi juruterbang dan saya cuba belajar bersungguh-sungguh untuk mencapai impian itu. Tapi mungkin disebabkan terlalu kuat belajar, saya terpaksa memakai cermin mata dan akhirnya tidak melayakkan saya untuk menjadi juruterbang," ujarnya dengan senyuman lebar.

Jin seterusnya menubuhkan saluran YouTube di bawah nama JinnyboyTV pada Januari 2012 bersama rakannya, Reuben Kang. Mulanya, JinnyboyTV bertujuan menjadi saluran untuk video wawancara bersama selebriti bagi pendengar yang tidak berpeluang mendengarnya di radio dan Jin sama sekali tidak berniat menjadi pembikin filem pendek seperti hari ini.

"Saya berminat dalam bidang fotografi jadi saya membeli kamera untuk kegunaan sendiri. Tapi ibu saya percaya bahawa kamera itu hanya digunakan dalam tempoh tiga bulan dan akan dibiarkan hingga berkarat.

"Jadi, saya gunakan komen itu sebagai motivasi untuk menghasilkan hanya satu filem pendek. Saya ingin mencabar diri melakukan sesuatu yang tidak pernah saya fikir akan lakukannya.

"Bagaimanapun bermula dengan hanya satu filem pendek itu jugalah akhirnya JinnyboyTV berjaya menghasilkan lebih banyak video untuk dikongsi bersama rakyat Malaysia," jelasnya.

Inspirasi daripada pembikin filem pendek antarabangsa seperti Wong Fu Productions, Jin bersama Reuben memanfaatkan pengalaman dibesarkan dalam kepelbagaian budaya Malaysia lalu menceritakannya semula dalam bentuk yang mudah difahami.

Dengan misi merapatkan jurang antara bakat tempatan dan antarabangsa, selain bercerita mengenai kehidupan rakyat Malaysia, gandingan ini berjaya menghasilkan filem pendek yang bukan saja menyentuh perasaan malah menaikkan semangat cintakan perpaduan dan negara.

Apa yang lebih menarik perhatian ialah gaya penceritaan yang lucu dan bersahaja, di samping jalan ceritanya yang boleh dikaitkan dalam hidup setiap warga Malaysia.

Video Ah Wing Malaysia's Number 1 Salesman berjaya menarik lebih 100,000 tontonan selepas empat hari dimuat naik ke YouTube. 

"Ketika itu, saya katakan pada diri apabila tua kelak saya boleh berbangga dengan pencapaian menghasilkan satu video menarik. Saya tidak kisah mengenai jumlah tontonannya," kata Jin.

Meskipun menerima sokongan dan pujian memberangsangkan, Jin mengakui tidak terfikir untuk menghasilkan video lain. Tapi apabila ratusan e-mel diterimanya setiap hari selepas kejayaan video pertama itu, Jin kembali berkarya dengan video seterusnya - Abuden?! dan My Generasi. My Generasi memperoleh sejuta tontonan dalam tempoh empat hari selepas ia hangat diperkatakan dalam laman Facebook.

Ia disusuli dengan Priorities, Today's Generasi?, Only In Malaysia, The Class Clown, How To Make A Viral Video, More Than Words, She's The One, Typical Malaysian Drivers, KL Style (OppaKLStyle), #Boleh, Pick Up Artist, 101 Excuses, The Last Day On Earth dan terkini Internsh*t.

Video Unfold dan Unfold Part 2 pula lebih serius yang menjurus kepada kisah cinta jarak jauh antara Malaysia dan Australia.

Lebih membanggakan apabila My Generasi dinobatkan Video Paling Lucu Sepanjang Tahun pada Anugerah DigiWWWOW, tahun lalu.

"Kami tidak pernah jangka video ini akan mendapat maklum balas luar biasa. Ia perkara gila dan saya masih tidak percaya semua ini berlaku dalam tempoh setahun," katanya.


Jay Park + Greyson Change + Kyle Patrick + Joe Brooks + David Choi + Pixie Lott

Apa kaitannya antara bintang idol Korea, Jay Park dengan barisan penyanyi Barat antaranya Greyson Chance, Joe Brooks, David Choi, Kyle Patrick dan Pixie Lott ini? 

Selain popular dan mempunyai kelompok peminat di seluruh dunia, semuanya pernah membintangi video terbitan JinnyboyTV.

Disebabkan itulah Jin kerap disalah anggap syarikat produksinya agak mewah kerana mampu mengeluarkan perbelanjaan besar untuk mendapatkan bintang ternama itu.

"Apa yang kami lakukan cuma tanya. Hampir semua video kami percuma dan barisan pelakon kami tidak dibayar termasuk selebriti terbabit.

"JinnyboyTV tidak pernah berteraskan keuntungan dan kami tidak mendapat tajaan sebelum terbitnya Unfold - Part 2 yang ditaja oleh Levi's.

"Dalam kebanyakan video, hanya dua yang dibayar dan selebihnya dihasilkan tanpa kos atau memerlukan kos minimum.

"Apa yang penting bagi saya ialah cara kami menonjolkan bakat tempatan khususnya dalam bidang muzik dan membantu mereka meluaskan lagi rangkaian.

"Selain menggunakan rakan sebagai pelakon, kami mendapat kerjasama pemuzik tempatan seperti Darren Ashley, Daniel Veerapen dan seorang pelajar Malaysia yang menuntut jurusan muzik di Berklee, Amerika Syarikat. 

"Secara tidak langsung ia membuatkan kami rasa bertanggungjawab membantu sesama rakyat Malaysia menonjolkan bakat mereka di peringkat lebih tinggi.

"Saya percaya ramai yang masih tidak percaya pada kemampuan diri tapi jika kita tidak mencuba atau tidak berani mengambil langkah pertama, kita tidak akan melangkah ke mana-mana.

"Justeru menerusi penerbitan video ini, saya harap ia dapat memberi kesan mendalam pada masyarakat dan bangkit menunjukkan kelebihan masing-masing. 

"Kami akan terus hasilkan video seperti ini kerana kami mahu tunjukkan pada dunia bahawa Malaysia juga mampu bersuara, mampu hidup dalam perpaduan di sebalik kepelbagaian agama, budaya dan adat resam berbilang kaum.

"Usia bukan halangan dan tanda noktah untuk melakukan perkara yang tidak dapat dilakukan ketika kecil. Saya berusia 27 tahun ketika mengasaskan JinnyboyTV dan melancong ke Disneyland pada usia 28 tahun. 

"Apa yang penting, tidak terlambat untuk melakukan perubahan dalam hidup dan percaya dengan apa yang kita lakukan itu," tegasnya mengakhiri bicara.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/08

No comments:

Post a Comment