Showing posts with label Pendekatan Projek (Project Approach). Show all posts
Showing posts with label Pendekatan Projek (Project Approach). Show all posts

Friday, June 14, 2013

Pendekatan Projek di Prasekolah

Pendekatan Projek merupakan salah satu elemen yang semakiin mendapat tempat dalam dunia Pendidikan Prasekolah. Sebenarnya pendekatan projek ini sangat senang untuk dilaksanakan sekiranya kita sebagai seorang guru prasekolah itu kreatif dan meletakkan diri ke dalam dunia kanak-kanak itu sendiri. 

"Back to basic" itulah kata kunci yang pernah saya utarakan kepada beberapa orang rakan ketika diaju soalan berkenaan idea mengadakan PENDEKATAN PROJEK di prasekolah. 

"Cuba balik ke zaman kita kanak-kanak dahulu. Apa yang kita suka zaman kanak-kanak tersebut? Cuba ubahsuaikan mengikut peredaran zaman. Kemudian barulah dapat hasilkan idea untuk mengajar atau menggunakan PENDEKATAN PROJEK di prasekolah".


Saturday, May 4, 2013

Apakah Pendekatan Projek (Project Approach)


“It is an investigation of a subject in the real world of children. A topic for investigation must be something that the children can readily find in their here and now world”                                                   (Nor A’shikin Che Kassim, 2010).

Pendekatan projek menekankan penyelidikan dan penerokaan berdasarkan inisiatif kanak-kanak dalam pembelajaran. Kemahiran dan konsep yang akan dikuasai oleh kanak-kanak adalah pembinaan pengetahuan dan pengalaman pembelajaran. Pegangan pendekatan ini dipengaruhi teori konstruktivis. Pembelajaran kemahiran yang diperolehi menerusi pengetahuan yang dibina oleh kanak-kanak adalah mengikut inisiatif dan minat kanak-kanak. Kanak-kanak membina pengetahuan menerusi penyelesaian masalah yang perlu menerusi pengalaman.

Menurut Bustam Kamri dan Putri Zabariah (2006), pendekatan ini ditentukan oleh guru atau inisiatif murid. Penyelidikan yang mendalam berfokuskan topik yang dipilih bagi mendapatkan jawapan kepada soalan yang dikemukakan oleh murid-murid. Halatuju pembelajaran mengikut minat murid dan guru adalah sebagai pemudahcara ataupun pembimbing.

Pendekatan projek boleh dijalankan dalam jangka masa pendek dan panjang. Jangka masa itu diperlukan kerana setiap topik yang dipilih akan dikaji secara mendalam. Perincian sesuatu perkara yang dikaji adalah berkaitan dengan topik. Guru boleh memberhentikan aktiviti pembelajaran dan menyambung semula pada waktu pembelajaran akan datang. Aktiviti projek untuk jangka masa panjang melibatkan sesuatu rancangan jangka panjang. Guru sebagai pemudahcara membantu murid untuk memberi pandangan sama ada sesuatu perancangan pada projek perlu memakan masa yang panjang atau pendek.

Katz dan Chard (1998) telah menyarankan Pendekatan Projek atau Project Approach boleh dijalankan berdasarkan Model Tiga Fasa seperti berikut:
              i.        Fasa 1 – Memulakan projek (Getting Started)
             ii.       Fasa 2 – Mengembangkan projek (Developing the project)
         iii.                   Fasa 3 – Membuat laporan dan meraikan penamatan projek (Concluding the project & Celebrating the Learning)

Sehubungan dengan itu, Lim Keat Heng dan Awang Salleh (2012) menyatakan bahawa Pendekatan Projek sebenarnya sangat sesuai digunakan bersama-sama dengan pendekatan-pendekatan lain yang diamalkan di prasekolah seperti Belajar Melalui Bermain, Bertema, Bersepadu dan Penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK).

Sekiranya Pendekatan Projek ini dilaksanakan secara bersepadu dengan pendekatan-pendekatan yang disebutkan diatas, maka guru boleh membekalkan pembelajaran melalui pengalaman (experiential learning), pembelajaran dalam konteks yang sebenar (contextual learning), penyelesaian masalah (problem solving), pemikiran kreatif (creative thinking) dan bekerjasama dalam kumpulan (cooperative learning). Ini akan menjadikan pengalaman belajar kanak-kanak itu lebih menarik dan bermakna. 

Pendekatan Projek di Prasekolah


Kanak-kanak mempunyai sifat semulajadi ingin meneroka. Mereka juga mempunyai sifat ingin tahu yang kuat. Pelbagai persoalan muncul di fikiran mereka yang memerlukan jawapan. Oleh itu mereka cenderung untuk bertanya, suka meneroka dan mencuba sesuatu yang baru untuk mengetahuai serta mengenali perkara atau fenomena di sekeliling mereka.

Oleh sebab itu, ramai pakar pendidikan kanak-kanak seperti Chard (1998), Katz (2008) serta Bustam Kamri dan Putri Zabariah (2006) berpendapat bahawa Pendekatan Projek boleh dijadikan sebagai satu medium untuk memberikan pengajaran dan pembelajaran yang bermakna kepada kanak-kanak. Ini kerana Pendekatan Projek atau Project Approach merupakan satu pendekatan yang membolehkan kanak-kanak untuk meneroka serta melakukan penyiasatan secara langsung.

Melalui pelaksanaan Pendekatan Projek, kanak-kanak berkesempatan melakukan penyiasatan dengan penglibatan aktif yang secara keseluruhannya akan memberikan pengalaman sebenar (real world experience) kepada kanak-kanak itu sendiri. Pengalaman ini penting bagi kanak-kanak mengenali alam di sekeliling mereka yang penuh dengan pelbagai fenomena dan kejadian yang memerlukan jawapan.

Menurut Katz (2007), memberi kanak-kanak peluang melaksanakan projek bertujuan untuk melibatkan kanak-kanak dalam pembelajaran yang aktif. Ini sangat diberi penekanan oleh Katz (2007) dengan menyatakan Pendekatan Projek adalah “intellectually engaged, intellectually challenged and involved in sustained investigations” (dalam Lim Keat Heng & Awang Salleh, 2012).