Showing posts with label Pendidikan. Show all posts
Showing posts with label Pendidikan. Show all posts

Thursday, July 11, 2013

Rukun Negara Malaysia


Bahawasanya negara kita Malaysia mendukung cita-cita untuk mencapai perpaduan yang lebih erat di kalangan masyarakat :
  • Memelihara satu cara hidup demokratik ;
  • Mencipta satu masyarakat yang adil di mana kemakmuran Negara akan dapat dinikmati bersama secara adil dan saksama;
  • Menjamin satu cara yang liberal terhadap tradisi-tradisi kebudayaaannya yang kaya dan berbagai-bagai corak;
  • Membina satu masyarakat progresif yang akan menggunakan sains dan teknologi moden;
Maka kami rakyat Malaysia ,berikrar akan menumpukan seluruh tenaga dan usaha kami untuk mencapai cita-cita tersebut berdasarkan prinsip-prinsip yang berikut :-

  • Kepercayaan kepada Tuhan
  • Kesetiaan kepada Raja dan Negara
  • Keluhuran Perlembagaan
  • Kedaulatan Undang-undang
  • Kesopanan dan Kesusilaan
OBJEKTIF
  • Memperkenalkan Rukun Negara kepada murid supaya mereka dapat mengetahui dan memahami falsafah serta prinsip-prinsip Rukun Negara;
  • Menyemai prinsip-prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara di kalangan murid;
  • Mempertingkatkan kesedaran dan pemahaman murid tentang kepentingan Rukun Negara kepada negara;
  • Mendidik murid supaya memahami, menghayati dan mengamalkan Rukun Negara;
  • Menyemai dan mempertingkatkan lagi semangat perpaduan di kalangan murid berasaskan sikap saling percaya-mempercayai, hormat-menghormati, Toleransi dan kerjasama antara kaum;
  • Mempertingkatkan penghayatan agama yang dianuti;
  • Mempertingkatkan kefahaman dan menghormati budaya, adat resam dan pantang larang kaum-kaum di Malaysia.

Dasar MBMMBI

MBMMBI atau Memartabatkan Bahasa Melayu & Memperkukuhkan Bahasa Inggeris adalah fokus utama bagi pendidikan bermula tahun 2012 ini. Pada tahun 2012 ini, MBMMBI akan dilaksanakan dengan lebih agresif di sekolah dan perkara utama yang menjadi teras kejayaan MBMMBI ialah Peranan Guru dalam Melaksanakan Dasar MBMMBI.

Memartabatkan Bahasa Malaysia bermaksud meletakkan Bahasa Malaysia pada tempat yang sepatutnya, sesuai dengan kedudukannya sebagai bahasa kebangsaan seperti yang termaktub dalam Perkara 152, Perlembagaan Malaysia. Bahasa Malaysia juga merupakan bahasa pengantar utama pendidikan berdasarkan Akta Pendidikan 1996.

Memperkukuh Bahasa Inggeris membawa maksud memantapkan penguasaan Bahasa Inggeris sebagai bahasa yang wajib dipelajari, bahasa komunikasi dan bahasa ilmu di peringkat nasional dan antarabangsa.

Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK)

"Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha yang berterusan ke arah memperkembang lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara".


Pernyataan falsafah ini menegaskan bahawa sistem pendidikan negara memberi penekanan kepada perkembangan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu ke arah melahirkan insan yang baik, berdasarkan kepercayaan, keyakinan serta kepatuhan kepada Tuhan. Ini bermakna Falsafah Pendidikan Negera berhasrat untuk melahirkan insan yang berpegang teguh kepada agama.

Berpandukan kepada Falsafah Pendidikan Negara, matlamat pendidikan ialah ke arah melahirkan insan yang baik dan sempurna. Insan yang baik yakni secara automatis menjadi warganegara Malaysia yang baik. Mereka ini hendaklah memiliki serta menghayati ciri-ciri yang berikut:
_ percaya dan patuh kepada Tuhan;
_ berilmu pengetahuan;
_ berakhlak mulia;
_ bertanggungjawab kepada diri, masyarakat, agama dan negara;
_ berbakti dan memberi sumbangan kepada masyarakat dan negara;
_ memiliki sahsiah yang seimbang dan sepadu.

Monday, September 10, 2012

PM Lancar Pelan Pendidikan Esok (11/9/2012)



KUALA LUMPUR - Pelan Pembangunan Pendidikan yang akan dilancarkan esok oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak (gambar kecil) bakal melonjakkan kualiti dan pencapaian bidang tersebut pada aras yang lebih tinggi.
Melalui pelan itu, kualiti keseluruhan sistem pendidikan yang meliputi guru, modal insan, kurikulum, pentaksiran, penyampaian dan pengurusan pendidikan bakal menerima satu perubahan besar.
Pelan itu juga bukan sekadar pernyataan dasar tetapi dokumen yang memperincikan strategi dan tindakan yang akan diambil oleh Kementerian Pelajaran untuk mencapai sasarannya.
Pelaksanaannya akan dibuat secara telus dan demi mencapai matlamat itu, kepimpinan tertinggi di peringkat kementerian akan mempunyai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) tertentu yang perlu dicapai selain laporan tahunan perlu diumumkan kepada pihak awam.
Sumber:
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.aspy=2012&amp:dt=0910&amp:pub=Kosmo&amp"sec=Negara&amp:pg=ne_03.thm 

Friday, September 7, 2012

Kurikulum Baharu Mata Pelajaran Sejarah



KUALA LUMPUR - Kementerian Pelajaran merangka kurikulum baharu mata pelajaran Sejarah untuk pelajar sekolah menengah bertujuan melahirkan warga negara yang mempunyai semangat patriotisme lebih tinggi.


Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kurikulum baharu itu berpandukan kepada perakuan-perakuan yang dikemukakan oleh Jawatankuasa Khas Mengkaji Kurikulum Sejarah dan Buku Teks Sejarah Sekolah Menengah.
“Kerajaan memberi perhatian khusus terhadap kandungan kurikulum mata pelajaran Sejarah di sekolah,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Tahunan Majlis ke-57 Persatuan Sejarah Malaysia (PSM) di Wisma Sejarah di sini semalam.
Jawatankuasa yang ditubuhkan pada Mei 2011 dianggotai 10 pakar sejarah dan dipengerusikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif PSM, Tan Sri Omar Mohd. Hashim.
Fungsi utama jawatankuasa tersebut adalah menentukan hala tuju perkembangan kurikulum mata pelajaran Sejarah dalam merealisasikan keperluan semasa dan cabaran masa depan.
Sumber:
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.aspy=2012&dt=0907&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm

Perkembangan Kanak-Kanak

Mengikut kajian ahli psikologi, perkembangan kanak-kanak dipecahkan kepada 5 aspek iaitu aspek jasmani, kognitif, emosi, sosial dan rohani. Kelima-lima aspek ini pula adalah berasakn kepada 2 faktor yang utama iaitu dipengaruhi oleh faktor baka dan faktor persekitaran. 

Perkembangan ini biasanya dikaitkan dengan perkembangan atau perubahan fizikal tubuh badan. Ahli psikologi juga telah berpendapat bahawa tiada individu di dunia ini yang mempunya kadar perkembangan yang sama dan menjadikan faktor baka (nature) dan faktor persekitaran (nurture) sebagai penyebab ketidaksamaan kadar perkembangan individu.

Wednesday, August 29, 2012

Subjek Sejarah berat, serius


                                               KESINAMBUNGAN...generasi muda hari ini bakal meneruskan kesinambungan 
sejarah negara. - Gambar hiasan
DIBANDINGKAN keberuntungan hidup antara generasi dulu dan kini perbezaannya ibarat langit dan bumi.Generasi dulu terpaksa berhempas pulas demi meneruskan kelangsungan hidup, padahal golongan muda hari ini menikmati kesenangan dalam pelbagai aspek pembangunan, kemudahan dan modenisasi.
   
  • Foto
    DEMI MASA DEPAN...didiklah generasi muda dengan semangat patriotisme supaya mereka tidak lupa asal usul sejarah negara. - Gambar hiasan
  • Foto
    PELBAGAI...biarpun ada pelbagai cara untuk menunjukkan semangat cintakan negara, jangan lupa pada asas sejarah. - Gambar hiasan

Malangnya, kepelbagaian kemudahan itu turut menjadikan mereka kurang peka terhadap tuntutan 
memartabatkan perjalanan sejarah hingga menganggapnya tidak penting.

Justeru, timbul tanggapan mereka dilabelkan sebagai generasi buta sejarah hingga menimbulkan 
polemik dalam masyarakat yang tertanya-tanya apakah kemampuan golongan itu mengemudi 
negara kelak tanpa sikap patriotisme asli.

Persoalannya, apakah faktor yang menyebabkan mereka alpa? Masyarakatkah yang bersalah 
kerana lepas tangan atau proses pembangunan yang terlalu pantas menyebabkan golongan itu 
hanya mengejar keperluan material.

Pensyarah Sejarah, Fakulti Sains Kemanusiaan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), 
Profesor Madya Dr Ishak Saat berkata, generasi muda hari ini dikelilingi kesenangan 
dan kemudahan dan jarang didedahkan dengan kesusahan serta perjuangan masyarakat 
terdahulu.


Subjek Sejarah di sekolah yang hanya bersandarkan peperiksaan semata-mata juga menyumbang 
kepada kekurangan penghayatan sejarah di kalangan golongan muda.


“Fenomena ini menyebabkan semangat patriotisme boleh dipersoalkan, malah lebih menyedihkan 
mereka melihat sejarah dan mentafsirkannya berdasarkan pemahaman sendiri.


“Mereka membuat penafsiran sendiri dan enggan menjiwainya. Jadi, jangan menunding jari jika 
golongan berkenaan buta sejarah sebab mereka diajar dengan pendekatan seperti itu,” katanya.


Isu generasi muda hari ini yang menganggap sejarah sebagai aspek picisan cukup membimbangkan, 
apatah lagi mereka juga gagal menunjukkan semangat patriotik mendalam terhadap negara seperti 
generasi terdahulu.


Keadaan ini menimbulkan polemik dan kebimbangan di kalangan masyarakat mengenai 
kecenderungan masa depan generasi ini dalam mengemudi negara suatu hari nanti.


Beliau berkata, sejarah mesti diajar dengan prinsip supaya tidak dikuasai golongan tertentu 
semata-mata, sebaliknya perlu dikongsi bersama.


“Malangnya, hanya golongan tertentu saja mendominasi perjalanan serta cerita sejarah ini 
manakala selebihnya hanya diberi ‘sedikit’ saja pengetahuan mengenainya.


“Ini turut menjadikan minat yang sedikit semakin merudum. Dalam hal ini, bukan salah sepenuhnya 
generasi muda andai kata mereka tidak minat kerana mekanisme digunakan bagi menarik minat 
mereka juga kurang tepat,” katanya.


Bagaimanapun, itu bukan alasan terus mengetepikan tanggungjawab untuk menarik minat 
generasi muda lebih peka terhadap perjalanan dan kepentingan sejarah.


“Jika tahu mereka jauh, apa salahnya kita menarik semula perhatian golongan itu dengan mekanisme 
tertentu.


“Jangan pisahkan mereka dengan sejarah kerana ini adalah kelangsungan dan kesinambungan 
perjalanan negara. Kalau bukan mereka yang meneruskannya siapa lagi,” katanya.


Ditanya adakah sukar ingin memupuk minat golongan terbabit terhadap sejarah, beliau berkata, 
ia tidak sukar kerana pandangan mereka lebih kritikal serta mempunyai kekuatan pandangan 
baru menerusi pelbagai sumber.

“Mereka boleh memperoleh pelbagai maklumat dengan mudah, jadi masyarakat perlu 
menggunakan peluang ini bagi mendekati golongan sasaran.


“Malangnya, apa dilakukan secara bermusim seperti hanya pada bulan kemerdekaan 
sedangkan penghayatan sejarah perlu sepanjang masa agar sentiasa mantap.



“Mekanisme digunakan tidak cukup, jadi tidak hairan mereka langsung tidak tertarik,” katanya.
Katanya, generasi dahulu lebih prihatin kerana sistem pendidikannya tidak terlalu berorentasikan 
peperiksaan.


“Malah, guru dulu sanggup berkorban demi meningkatkan semangat patriotik di kalangan pelajar.

“Bagaimanapun, cabaran dulu dan kini berbeza. Generasi dulu lebih fokus pada pembinaan jati 
diri tapi kini penghidupan lebih mencabar dengan pembangunan semakin rancak selain materialistik.


“Tapi, jiwa patriotisme juga mesti dititikberatkan. Kita tidak mahu melahirkan 
generasi cerdik pandai tetapi buta sejarah negara sendiri,” katanya.


Mahasiswa program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Sejarah, Mohamad Husairi Hanafi mengakui, 
generasi muda kurang berminat pada sejarah kerana beranggapan ia aspek yang leceh, sukar dan
tidak penting.


Menurutnya, faktor dibesarkan selepas zaman kemerdekaan serta hidup dikelilingi kemudahan 
juga menjadi penyebab mereka enggan ‘membebankan’ fikiran dengan fakta sejarah.


“Sejarah selalunya dianggap aspek berat, serius selain hanya untuk orang lama, sebab itu kurang 
mendapat tempat di hati generasi muda.


“Pemahaman kurang jelas juga menjadikan mereka tidak berminat, sekali gus bakal memberi kesan 
jangka panjang.


“Malah, saya mengakui golongan muda hari ini lebih suka pada kebebasan,” katanya.

Rakannya, Emy Nazira Embong berpendapat, kecenderungan generasi muda kepada aspek 
keseronokan mendorong mereka ‘mengabaikan’ kepentingan sejarah.


“Biarpun subjek itu diajar, mereka tidak mendalaminya secara serius. Pada mereka, buat apa 
(belajar) sedangkan negara sudah mencapai kemerdekaan.


“Tanggapan seperti itulah yang membuatkan mereka ambil mudah dan menganggap 
sejarah tidak penting, padahal sebuah bangsa berjaya kerana sejarahnya,” katanya.


Artikel ini disiarkan pada : 29/08/2012


Monday, July 16, 2012

FALSAFAH PENDIDIKAN

Falsafah Pendidikan Kebangsaan
"Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha yang berterusan untuk mengembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah untuk melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan dan berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta dapat menyumbang terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara."

Hala Tuju
Falsafah Pendidikan Guru
"Guru yang berpekerti mulia, berpandangan progresif dan saintifik, bersedia menjunjung aspirasi negara serta menyanjung warisan kebudayaan negara, menjamin pembangunan individu dan memelihara suatu masyarakat yang bersatu padu, demokratik, progresif dan berdisiplin."