Wednesday, May 15, 2013

'Benfica lebih hebat'


Amsterdam: Benfica mungkin lebih berbakat daripada Chelsea, tetapi masih dilabel sebagai pasukan bukan pilihan pada final Piala Europa awal pagi esok, menurut bekas ketua jurulatih England Sven-Goran Eriksson.

Pengendali dari Sweden itu mengetahui kemampuan Benfica selepas dua kali membimbing kelab yang pernah memenangi dua kejuaraan Eropah itu.

“Sudah pasti Chelsea pilihan kerana memiliki pasukan seimbang dan antara pemain termahal, tapi pada pendapat saya teknik permainan Benfica lebih baik.
“Teknik permainan Benfica lebih tajam. Mereka mengawal bola dengan baik dan sentiasa beraksi cemerlang,” katanya kepada akhbar harian aBola.

Juara Eropah 1961 dan 1962 itu bergantung kepada jentera tengah berkualiti Eduardo Salvio, Nicolas Gaitan, Pablo Aimar, Ola John dan Nemanja Matic untuk membuat hantaran kepada jentera serangan diketuai Oscar Cardozo yang bergandingan dengan Rodrigo Lima.

Gandingan Cardozo dan Lima setakat ini sudah meledak 71 daripada keseluruhan 118 gol musim ini.
Foto
LIMA jadi taruhan robek gawang Chelsea.

Eriksson yang membimbing pasukan itu ketika juara Portugal itu tewas 0-1 kepada AC Milan pada final Piala Eropah 1990 di Vienna percaya Benfica akan melupakan segera kekalahan 1-2 kepada seteru utama, Porto, Sabtu lalu.

Kedua-dua pasukan itu tidak pernah tewas sebelum turun mengharungi perlawanan itu dan kemenangan Porto menyaksikan mereka berada di landasan tepat untuk merangkul kejuaraan domestik.

“Final kejohanan Eropah sangat unik. Sebaik saja mereka bersiap sedia untuk pertembungan final, kekalahan kepada Porto pasti segera dilupakan.” Eriksson begitu hampir menghadiahkan tiga kejuaraan untuk Benfica pada 1983 apabila memenangi dua kejuaraan domestik tapi tewas 1-2 secara agregat kepada Anderlecht pada final Piala UEFA yang berlangsung secara timbal balik.

Pengendali dari Sweden itu pernah menikmati kejuaraan Liga Portugal tiga kali sepanjang dua kali membimbing kelab itu.

Pemain tengah Argentina Enzo Perez turut percaya Benfica akan segera lupakan kekalahan kepada Porto.

“Pasukan memang kecewa tapi kami percaya kekecewaan itu akan ditebus apabila bertemu Chelsea. Kami hanya perlu percaya kepada diri sendiri,” kata Perez.

Benfica mempunyai memori indah di Amsterdam apabila memenangi Piala Eropah buat kali terakhir ketika menewaskan Real Madrid pada 1962.

Sementara itu, pemain perancang Juan Mata mahu Chelsea menamatkan musim ini dengan memenangi Piala Europa dan mengesahkan kedudukan di tangga ketiga pada saingan Liga Perdana Inggeris jika mampu menewaskan Everton di tempat sendiri, Ahad ini.

“Musim ini hampir berakhir dan mungkin kami bakal menikmati penamat terbaik.

“Kami mahu memenangi takhta Eropah dan mengesahkan tiket ke Liga Juara-Juara musim depan.

“Inilah kali kedua dalam tempoh dua musim di Chelsea, kami akan beraksi untuk merebut trofi Eropah. Sudah tentu amat hebat jika menang dua takhta Eropah berturut-turut,” katanya. - Reuters

Sumber: myMetro
Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/15

No comments:

Post a Comment