Thursday, May 2, 2013

Tsunami politik 2008 tidak mungkin berulang


Oleh: Rejal Arbee

Tempoh kempen selama 15 hari untuk Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) hanya berbaki dua hari saja lagi. Semua 579 calon yang bertanding untuk 222 kerusi Dewan Rakyat dan 1,320 calon untuk 505 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) tentunya sudah menemui pengundi di kawasan masing-masing bagi merayu undi.

Persaingan yang pada mulanya dianggap sengit dan mencabar bagi Barisan Nasional (BN), kini kelihatan semakin hambar gara-gara mainan politik pakatan pembangkang yang dikatakan sudah tidak lagi sepakat biarpun pada mulanya begitu yakin dapat mengulangi tsunami politik 2008 dan diberi mandat menubuhkan kerajaan baru di negara ini. 

BN pula semakin hari semakin yakin dengan kedudukannya yang mantap hingga ada yang meramalkan ia bukan saja boleh membaiki keputusan Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12) pada 2008 tetapi boleh mengharapkan majoriti dua pertiga di Parlimen kali ini. 

Sokongan puak ‘Neocon’ 
Kerapuhan pakatan pembangkang yang teringin sangat mahu menjadi parti alternatif kepada BN adalah disebabkan sikap ahli parti masing-masing juga memperlekehkan perjuangan parti rakan masing-masing.

Inilah juga yang menyebabkan ada pimpinan DAP secara terang-terangan minta ahli dan penyokongnya tidak mengundi calon PAS manakala PAS dan PKR berbalah merebut kerusi untuk bertanding serta keengganan kepemimpinan PAS menerima Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri jika mereka menang PRU-13.

Mereka terus mempersoalkan kedudukannya yang dikatakan mendapat sokongan kuat rakan-rakannya dari Amerika Syarikat yang terdiri daripada puak ‘Neocon’, iaitu suatu gabungan yang menyokong Zionis dan mendukung usaha menubuhkan kerajaan dunia. 

Malah seorang daripada orang penting ‘Neocon’ ini, Paul Wolfowitz yang juga bekas Presiden Bank Dunia dan orang yang banyak mempengaruhi Presiden Amerika Syarikat, George W Bush, untuk menyerang Iraq pada 2003, adalah rakan rapat Anwar. Mereka sering berjumpa apabila Anwar berada di Amerika.

Bukti Israel sokong pakatan
Anwar sendiri tidak pula dapat menafikan bahawa sememangnya dia disokong puak itu. Maka tidak menghairankan kenapa Anwar sendiri pernah membuat kenyataan bahawa Israel berhak menentukan soal keselamatannya.

Tidak menghairankan juga adanya video di Youtube oleh gereja Baitulmaqdis di Israel yang memaparkan beberapa orang anggotanya ‘mendoakan’ kemenangan pakatan pembangkang dalam PRU-13 nanti.

Antara kata-kata ‘doa’ pihak gereja itu ialah “Malaysia dan kerajaan barunya diberkati oleh Tuhan (the Lord) dan dengan itu negara ini tidak lagi berada dalam kegelapan”.

Selain itu, perutusan daripada pihak gereja Israel juga turut menekankan ungkapan ‘bakal kerajaan baru Malaysia’, seolah-olah kemenangan pembangkang adalah sesuatu yang pasti. Mengikut mereka, kerajaan baru inilah ‘jalan yang benar’ yang akan membawa Malaysia mendapat keberkatan Tuhan.

Bagaimanapun, apabila video itu dipaparkan di laman Facebook, ada puak yang taksub dengan menuduh ia disunting kalau pun pihak gereja itu tidak diupah oleh UMNO.

Apa pun sokongan Israel terhadap pembangkang, terutama Anwar bukan sesuatu yang aneh. Malah, akhbar paling berpengaruh di Israel, Jerusalem Post pernah menyatakan sokongan secara terbuka terhadap Anwar itu dan membuat rumusan pembangkang sudah pun memenangi pilihan raya yang kononnya diadakan pada 8 Mac lalu.

Kejahilan pembangkang 
Sebenarnya ‘kemenangan’ itulah yang diuar-uarkan pakatan pembangkang untuk ‘menyerang’ Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sekiranya mereka kalah pada hari pengundian Ahad ini. Mereka, khususnya PKR berterusan melemparkan pelbagai tuduhan terhadap SPR.

Malah, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim, mendakwa kononnya MAS diupah kerajaan sejak beberapa hari lalu untuk membawa orang dari Sabah untuk mengundi di Selangor. Beliau juga mendakwa kononnya sudah muncul 130,000 pengundi baru di Selangor.

Semua ini menunjukkan betapa jahilnya pakatan pembangkang terhadap selok belok perjalanan pilihan raya dan pendaftaran pengundi di negara ini. Namun, usaha memfitnah SPR bukanlah perkara baru kerana rakyat berterusan dihasut untuk mempersoalkan kredibiliti SPR yang dituduh tidak telus dan tidak bersih.

Ramai yang berpendapat dakwaan terhadap SPR itu sengaja diada-adakan supaya pakatan pembangkang dapat mendakwa berlaku penipuan dalam PRU-13 jika mereka kalah dan menjadikannya alasan untuk menimbulkan kekecohan atau ‘Malaysian Spring’ bagi menubuhkan ‘kerajaan baru’.

Penulis ialah Felo Kanan di UKM

Sumber: BH (02 Mei 2013)

No comments:

Post a Comment