oleh ALIF ABU BAKAR
FRASA lelaki sejati memakai hitam
berkemungkinan boleh dipersetujui ramai. Malah, pada tahun 1990, kumpulan muzik
bergenre R&B/funk, Cameo turut meminjam kenyataan Real Men... Wear Black
sebagai tajuk album mereka.
Apakah kuasa yang terkandung
dalam warna pilihan jejaka itu? Jawapannya mudah, ia satu rona ringkas yang
mampu mengekspresikan 1,001 gaya lelaki tanpa bantuan warna lain.
Hitam sudah mampu membentuk
personaliti maskulin seorang lelaki.
Apa jua jenis pakaian berwarna
hitam pasti menjadi pilihan lelaki di serata dunia, begitu juga Malaysia. Namun
sayangnya, kecenderungan itu tidak kelihatan pada pemilihan sut. Segelintir
sahaja menyedari aura sut hitam, manakala selebihnya lebih teruja menyarungkan
sut berona terang khususnya golongan selebriti lelaki tempatan.
“Artis-artis lelaki kita sukakan
pakaian atau sut berwarna terang dan yang berkilat. Bagi mereka, sut hitam
bakal membuatkan mereka tampak bosan dan tidak menyerlah di karpet merah.
“Di sinilah silapnya mentaliti
yang mereka pegang. Cuba teliti pemakaian selebriti lelaki Hollywood. Majoriti
mereka selesa menggayakan sut hitam. Ia mungkin kelihatan ringkas, tetapi
kebijaksanaan suai padan dan potongan yang sempurna mampu menciptakan
penampilan eksklusif.
“Sewajarnya, artis lelaki yang
datang berpasangan perlu tampil ringkas dengan sut hitam. Selebriti wanita
memang tidak dinafikan perlu bergaya sehabis baik bagi menangkap perhatian
sekeliling. Lelaki pula perlu menjadi pelengkap kepada gaya wanita dan memakai
sesuatu yang tidak keterlaluan.
“Pakaian lelaki tidak dinilai
semata-mata pada kecantikannya, malah lebih kepada penonjolan karakter yang
diserlahkan. Oleh yang demikian, jika anda diberi tajaan sekalipun, pastikan
pakaian tersebut bertepatan dengan personaliti diri,” demikian pesanan bernas
yang diutarakan pereka fesyen prolifik, Bon Zainal.
Sebagai ‘raja sut lelaki’, Bon
cukup arif tentang identifikasi persalinan rasmi jejaka itu. Menyifatkan bahawa
sut hitam adalah item wajib ada dalam setiap almari lelaki, ujar Bon, ia
menjadi pilihan mudah dan terbaik sekiranya anda mengalami masalah memilih
pakaian bersesuaian.
|
Kuasa sut hitam terletak pada
keseluruhan aspek yang dibawanya. Selain menjadi pendamping untuk acara formal,
ia boleh diolah untuk disesuaikan ke majlis kasual dan santai.
Segak seorang jejaka dalam sut
hitam akan lebih mantap dengan potongan dan saiz yang tepat. Sut hitam klasik
kebanyakannya tertumpu kepada potongan slim yang amat sesuai bagi jejaka
bertubuh segak. Keseimbangan bahagian atas dan bawah juga perlu sesuai dengan
bentuk badan.
Selain itu, warna hitam
sebenarnya boleh dipecahkan kepada beberapa tona warna. Sut hitam boleh
diterjemahkan menerusi rona hitam arang, karbon, ebony, ivory, onyx, matte dan
banyak lagi.
Memilih sut hitam
Apabila memilih sepasang sut
hitam, apa yang perlu diambil kira adalah jenis butangnya. Sut hitam berbutang
sebaris (single breasted) adalah pilihan terbaik dan seelok-eloknya yang
mempunyai dua butang. Terdapat juga sut single breasted berbutang tiga dan
empat tetapi, ia bergantung kepada fizikal dan ketinggian seseorang.
Sut hitam silang pangkah
(herringbone), mirip kulit atau hitam bertekstur antara gaya yang boleh dibentuk
menerusi persalinan merentas zaman tersebut. Hentikan stigma bahawa sut hitam
hanya menepati tema pakaian acara formal kerana ia mampu digayakan lebih
daripada itu.
“Sepasang sut hitam boleh
membentuk 10 hingga 15 gaya yang berbeza. Anda boleh hapuskan formaliti dengan
mengenakan jaket hitam bersama seluar putih atau kelabu.
“Jean juga sepadan dengan jaket
atau blazer hitam. Sekiranya mahu penampilan santai tetapi kemas, sarungkan
baju T leher V warna putih dan lengkapkan bersama jaket hitam.
“Anda perlu kreatif dengan sut
hitam. Cukup dengan satu sut, anda boleh mencipta pelbagai gaya tanpa perlu
gusar komen orang ramai.
“Tiada siapa akan menegur anda
memakai sut hitam berulang kali. Paling penting, suai padan dan bijak mengatur
gaya berlainan,” jelas Bon yang memiliki 12 koleksi sut hitam pelbagai stail
dan potongan.
Tambah Bon, kasut hitam menjadi
pilihan terbaik bagi sut hitam. Stoking pula perlu dipadankan mengikut
kesesuaian majlis. Acara formal lebih sesuai dengan stoking hitam, sporty pula
tampak menarik bersama stoking putih dan baju T putih, ibarat gaya sinonim Raja
Pop Dunia, Michael Jackson.
Bagaimanapun, semuanya berbalik
kepada kehebatan warna hitam yang padan dengan semua rona. Campurkan apa sahaja
warna bersama hitam, ia sama sekali tidak akan bercanggah.
BON Zainal (dua dari kanan)
memiliki 12 koleksi sut hitam peribadi pelbagai stail dan potongan.
Tatacara gaya
Selepas sut hitam segak
disarungkan, jangan rosakkan keseluruhan penampilan dengan kesilapan penggayaan
rambut. Pesona sut hitam perlu disokong gaya rambut yang kemas dan rapi.
Ujar Bon: “Sut hitam ke acara
formal perlu disertakan bersama gaya rambut dirapi menggunakan gel. Selalunya,
rambut disikat ke belakang (slick back) dengan gaya kebasahan (wet look)
menjadi pilihan sempurna penampilan ini.
“Bergaya bersama jaket hitam bagi
acara kasual pula memerlukan rambut ringkas dan rileks. Tidak salah jika jejaka
berambut panjang mengikat rambut mereka seperti gaya ekor kuda.”
Satu lagi elemen perlu
dititikberatkan kaum Adam di luar sana adalah penjagaan badan. Sememangnya
diakui, hitam mampu memberi ilusi fizikal bentuk badan yang besar menjadi lebih
kecil. Namun, perut buncit dan lemak berlebihan pada kawasan tertentu seperti
pinggang dan punggung, secara terang-terangan mencacatkan penampilan.
Lelaki dinasihatkan menjaga
bentuk badan agar sut hitam yang disarungkan mampu menyerlahkan penampilan
luaran sempurna. Untuk kelihatan segak dan kacak, ia perlu seimbang dari segi
pemilihan pakaian dan usaha menjaga bentuk badan.
No comments:
Post a Comment