Wednesday, April 10, 2013

Shila mohon maaf

 Shila mohon maaf
Bersyukur kerana dapat memenangi trofi Penyanyi Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 2012 buat kali pertama, Shila Amzah memohon maaf apabila tidak dapat menyertai siri jelajah mahupun memeriahkan malam kemuncak anugerah itu, Ahad lalu berikutan komitmen terhadap konsert bergerak di Amerika Syarikat (AS).

Masih berada di Las Vegas usai siri konsert terakhir selepas Lincoln Centre New York dan San Francisco, hari ini pemenang Asian Wave itu dijadualkan terbang semula ke Shanghai bagi menyiapkan penggambaran video muzik untuk China Idol. 
Terima kasih emak, abah, keluarga, Shila Amzah Entertainment dan tidak lupa Shilalas kerana terus memberikan sokongan padu terhadap kerjaya seni saya. Terima kasih juga kepada BH yang menyokong industri hiburan menerusi penganjuran dan pengiktirafan buat karyawan seni. 

Saya minta maaf sebab tidak dapat hadir. Selepas menamatkan konsert di AS bersama lima penyanyi lain, saya kembali ke Shanghai bagi menyiapkan beberapa projek termasuk lagu tema China Idol dalam bahasa Mandarin, yang asalnya disampaikan Kelly Clarkson, katanya menerusi kiriman e-mel.

Berduet dengan Julio Iglesias 
Shila turut menyatakan rasa terharu apabila diberi peluang membawakan lagu A Moment Like This dalam versi Mandarin memandangkan ramai lagi penyanyi besar di China, apatah lagi itulah pertandingan Idol pertama di sana.

Jadual promosi dan tugasan lain sedia untuk dipenuhi sebaik konsert di AS selesai. Selain lagu China Idol, saya turut mempergiatkan latihan vokal sebagai persediaan menghadapi Konsert Julio Iglesias. Saya diundang sebagai artis jemputan pada konsert berkenaan. 

Persembahan itu sangat istimewa kerana selain tampil solo di ketiga-tiga lokasi nanti, saya juga bakal berduet dengan penyanyi tersohor itu membawakan lagu When You Tell Me That You Love Me dan All For You, katanya.

Mengikut jadual, Shila yang ditemani ibu bapanya bakal menjelajah bersama Iglesias bermula di Shanghai pada 14 April disusuli Shenzen (18 April), manakala konsert terbabit dijangka selesai selepas destinasi terakhir di Beijing (21 April).

Mahu siapkan album Melayu
 Walaupun sebelum ini Shila memaklumkan perlu sekurang-kurangnya tinggal setengah tahun di China demi tuntutan kerjaya seni, dia akan pulang seketika selepas konsert bagi melengkapkan pula pembikinan album Melayu yang hampir selesai.

Insya-Allah saya akan gunakan peluang dan kesempatan yang diberikan ini sebaik mungkin. Harap semua mendoakan perjalanan saya supaya dipermudahkan oleh-Nya, ulas penyanyi itu yang turut mendapat ucapan tahniah di laman sosialnya sebaik diumumkan sebagai pemenang, 7 April lalu.

Sumber: Berita Harian (10 April 2013)

No comments:

Post a Comment