Suhu pilihan raya semakin meningkat dan semua orang berteka-teki siapa bakal dipilih, digugurkan dan dicalonkan semula. Menjelang hari penamaan calon Sabtu depan, pengundi mengharapkan calon terbaik bagi mewakili mereka untuk lima tahun akan datang.
Pemilihan
calon yang sesuai untuk 222 kerusi Parlimen dan 505 kerusi Dewan Undangan
Negeri (DUN) amat penting bagi menjamin kemenangan pada Pilihan Raya Umum Ke-13
(PRU-13) nanti. Bukan tidak ada kerusi yang terlepas kepada pihak lawan
gara-gara pemilihan calon yang tidak tepat. Bagi Pengerusi Barisan Nasional
(BN), Datuk Seri Najib Razak, antara kriteria penting ialah personaliti calon
dan penerimaan rakyat.
Dalam PRU-13, BN dijangka menggugurkan beberapa muka lama yang dianggap tidak
lagi dapat memainkan peranan yang berkesan. Memang wajar untuk mereka kecewa.
Itu lumrah manusia. Tetapi kekecewaan itu tidak harus sampai mensabotaj parti
dan enggan memberi sokongan kepada calon dan jentera parti di peringkat akar
umbi.
Najib teliti pilih calon
Jika ahli BN mahu memastikan kemenangan, mereka perlu akur kepada nasihat Najib
agar tidak merajuk terlalu lama. Yang pasti, Najib mempunyai banyak saluran
berwibawa untuk mendapatkan maklum balas mengenai calon, termasuk personaliti
dan potensinya untuk menang. Penelitian yang mendalam terhadap semua kriteria
membabitkan calon membuktikan keseriusan beliau untuk memastikan hanya calon
yang terbaik dan mampu menang ditampilkan. Tentu beliau mahu rakyat memberi
reaksi positif terhadap senarai calon yang diumumkannya dalam beberapa hari
lagi.
BN tentu tidak mahu mengambil risiko menampilkan calon yang tercalar peribadi
dan tidak diterima rakyat sehingga kehilangan kerusi semata-mata menjaga hati
individu terbabit. Biarlah calon yang ditampilkan dapat memberi nafas baru.
Percayalah, jika calon menepati ciri-ciri tepat mampu menang, peluang
mempertahankan kerusi dan merampas kembali kerusi yang BN kalah dalam PRU lalu
amat cerah.
Penulis percaya Najib menilai setiap calon dan wakil rakyat secara objektif
berdasarkan komitmen mereka dan sokongan pengundi. Justeru, wakil rakyat sedia
ada tidak perlu melobi menjadi calon semula kerana mereka berpotensi dipilih
dan menang dalam pilihan raya jika memberi khidmat terbaik kepada pengundi di
kawasan masing-masing.
Satu daripada kriteria penting ialah kelayakan calon. Sesuai dengan tuntutan
zaman dan keadaan, calon yang sekurang-kurangnya mempunyai kelayakan ijazah
pertama perlu dipilih. Ketokohan, daya kepemimpinan, berintegriti tinggi,
berkebolehan, berpengalaman, mempunyai rekod prestasi dan kepakaran diambil
kira.
Kepelbagaian kepakaran dan pengalaman wakil rakyat membantu pemimpin parti dan
negara merumus ramuan dasar terbaik bagi masa depan negara.
Wakil rakyat prihatin jadi pilihan
Bagi rakyat pula, mereka ingin melihat wakil rakyat yang komited membawa
pembangunan ke kawasan mereka. Untuk itu, mereka mahu melihat wakil rakyat yang
prihatin dan memiliki sentuhan kerakyatan, iaitu wakil rakyat yang bersedia
turun padang bagi mendengar keluhan, masalah dan aspirasi mereka. Apa gunanya
wakil rakyat yang berkelayakan jika tidak sanggup mendengar masalah dan isu
yang membelenggu rakyat? Apa gunanya wakil rakyat yang hanya mementingkan
agenda peribadi, iaitu untuk mengaut kekayaan semata-mata?
Rakyat mahu melihat wakil rakyat yang sanggup merasai denyut nadi dan gerak
rasa mereka. Untuk itu, tentu lebih elok jika calon yang dipilih ialah anak
tempatan yang dilahirkan dan dibesarkan di kawasan yang bakal diwakilinya.
Lebih memahami pengundi
Hal ini kerana calon berkenaan lebih mengenali rakyat dan pengundinya, selain
dapat menghayati masalah dihadapi pengundi. Rakyat lebih suka jika calon yang
bertanding orang dikenali.
Najib pernah berkata, jika ada wakil rakyat yang tidak disukai, rakyat akan
beri isyarat. “Jadi jawatan dalam parti tidak menjamin kemenangan seseorang itu
ketika pilihan raya, hanya mereka yang disukai, disenangi dan mesra dengan
rakyat akan dipilih.”
Sesungguhnya, jika ditanya rakyat, mereka mahu wakil rakyat yang sanggup
bersama ketika mereka menghadapi masalah. Wakil rakyat sedemikian adalah mereka
yang bersedia meringankan beban rakyat. Bagi pengundi dan penduduk di luar
bandar terutamanya, wakil rakyat adalah segala-galanya.
Kini, rakyat tidak lagi suka dengan wakil rakyat yang hanya menunjuk batang
hidung sewaktu menjelang pilihan raya semata-mata. Wakil rakyat yang mempunyai
hubungan awam yang baik dan sentiasa mendampingi mereka akan melekat di hati
rakyat.
Penulis ialah pensyarah kanan dan penganalisis politik di Universiti
Malaysia Sarawak
Sumber: Berita Harian (14/4/2013)
No comments:
Post a Comment