Perdana Menteri dijangka buat
pengumuman selepas mesyuarat terakhir kabinet
Kuala Lumpur: Parlimen dijangka
dibubarkan seawal esok selepas mesyuarat Kabinet di Putrajaya bagi membolehkan
Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) diadakan. Ini berikutan pengedaran surat
daripada Jabatan Perdana Menteri meminta semua Ahli Jemaah Menteri hadir pada
mesyuarat itu lengkap berpakaian lounge suit berwarna gelap dan bertali leher
berwarna merah untuk sesi bergambar.
“jika Parlimen dibubar esok, SPR akan
mengadakan mesyuarat khas secepat mungkin untuk menetapkan tarikh penamaan
calon dan tarikh mengundi” Datuk Wan Ahmad Wan Omar, Timbalan Pengerusi SPR
Mengikut amalan sebelum ini, Ahli
Jemaah Menteri akan bergambar bersama Perdana Menteri dan timbalannya pada
mesyuarat terakhir Kabinet sebelum pengumuman pembubaran Parlimen selepas
mesyuarat.
Difahamkan sesi bergambar diadakan
sebelum mesyuarat Kabinet esok dan Datuk Seri Najib Razak mengadakan sidang
media bagi mengumumkan pembubaran Parlimen selepas itu.
Mengikut kelaziman, Perdana Menteri
akan menghadap Yang di-Pertuan Agong sebelum mesyuarat Kabinet bagi memohon
perkenan pembubaran Parlimen.
Beberapa Menteri yang dihubungi
mengesahkan menerima surat itu dan tidak menolak kemungkinan Najib mengumumkan
pembubaran Parlimen selepas mesyuarat Kabinet esok seperti kelaziman sebelum
ini.
Tempoh 60 hari adakan PRU-13
“Saya sudah menerima surat dan mungkin
ini adalah mesyuarat Kabinet terakhir penggal ini kerana mengikut tradisi
Perdana Menteri sebelum ini, Parlimen dibubarkan selepas itu,” kata seorang
Menteri kepada BH semalam.
Jika Parlimen dibubarkan esok, ia
genap empat tahun Najib menerajui negara selepas dilantik menggantikan Tun
Abdullah Ahmad Badawi pada 2009.
Tempoh satu penggal atau lima tahun
Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12) akan berakhir pada 30 April ini dan Parlimen
akan terbubar secara sendiri jika tidak dibubarkan sebelum tarikh itu.
Selepas itu Suruhanjaya Pilihan Raya
(SPR) mempunyai tempoh 60 hari sehingga selewat-lewatnya bulan Jun untuk
mengadakan PRU-13 bagi membentuk kerajaan baru.
Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri
Sembilan menjadi negeri pertama terbubar secara automatik pada Khamis lalu dan
kini ditadbir kerajaan sementara yang diterajui Menteri Besar, Datuk Seri
Mohamad Hasan.
Sementara itu Timbalan Pengerusi SPR,
Datuk Wan Ahmad Wan Omar, berkata jika Parlimen dibubarkan esok SPR akan
mengadakan mesyuarat khas secepat mungkin untuk menetapkan beberapa perkara
dasar seperti daftar pemilih, watikah kepada pegawai SPR, tarikh penamaan calon
tarikh mengundi.
No comments:
Post a Comment