Wednesday, April 3, 2013

PM dijangka lancar menifesto Sabtu (BH - 3.4.2013)


BN adakan mesyuarat khas esok 
Kuala Lumpur: Tarikh pembubaran Parlimen yang dikatakan hari ini diperkukuhkan lagi dengan perkembangan terkini dan beberapa program yang dirancang oleh Barisan Nasional (BN) untuk beberapa hari akan datang. 

Selain mesyuarat Kabinet hari ini yang dikatakan akan menjadi mesyuarat terakhir untuk penggal ini, BN akan mengadakan mesyuarat khas mengenai persiapan menghadapi pilihan raya, esok. 

Malam Sabtu ini pula BN dijangka mengumumkan manifesto Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) dan melancarkan jentera pilihan raya dalam majlis khas di Stadium Putra Bukit Jalil, membabitkan kehadiran kira-kira 10,000 orang dari seluruh negara.

Secara langsung di TV 
Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek semalam mengesahkan mesyuarat khas BN akan diadakan esok, tetapi butiran majlis melancarkan manifesto hanya akan diputuskan dalam mesyuarat itu.

Namun, BH difahamkan persiapan majlis melancarkan manifesto dan jentera pilihan raya BN sudah diatur termasuk menyiarkannya secara langsung menerusi televisyen.


Petanda Parlimen akan dibubarkan seawal hari ini semakin jelas berikutan arahan Jabatan Perdana Menteri meminta semua Ahli Jemaah Menteri hadir mesyuarat Kabinet hari ini dengan pakaian berwarna gelap dan tali leher seragam warna merah untuk sesi bergambar bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sesi bergambar 
Sesi bergambar pada mesyuarat terakhir Kabinet adalah kelaziman sebelum pembubaran Parlimen dan Perdana Menteri biasanya akan mengadakan sidang media selepas mesyuarat itu.

Sementara itu, ada yang menyatakan Perdana Menteri akan menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN 2013 di Brunei pada 25 dan 26 April, tetapi kehadirannya bukan kemestian kerana Menteri Luar boleh menghadiri persidangan itu seperti yang pernah diamalkan sebelum ini.

Berikutan itu, kemungkinan Parlimen dibubarkan hari ini atau selewat-lewatnya dalam tempoh beberapa hari akan datang makin hangat diperkatakan sebelum Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan tarikh penamaan calon dan pengundian yang dijangka diadakan dalam bulan ini.

No comments:

Post a Comment