Hasil tulisan : Jeniri Amir
Pada Pilihan Raya Umum 2008, hanya 76 peratus daripada 10.7
juta pengundi di negara ini turun mengundi. Peratusan undian tertinggi ialah
Terengganu sebanyak 85 peratus.
Hanya lima negeri, termasuk Wilayah Persekutuan mencatat peratus undian lebih
daripada 80 peratus. Wilayah Persekutuan Labuan, Sabah dan Sarawak mencatat
kurang daripada 70 peratus. Sarawak berada di tempat tercorot sebanyak 65.1
peratus walaupun mempunyai pengundi keenam terbanyak, iaitu 533,155.
Adakah peratus mengundi pada PRU-13 nanti meningkat atau
merosot? Apakah yang menyebabkan peratusan meningkat atau merosot? Peratusan
mengundi dalam PRU Parlimen Sarawak memperlihatkan trend merosot kecuali pada
1995 meskipun jumlah pengundi meningkat dari tahun ke tahun.
Jumlah pengundi di Sarawak pada 1969 adalah 332,737. Jumlah itu mengukuh
menjadi 385,345 pada 1978 sebelum meningkat kepada 556,995 pada 1986. Pada
1999, jumlah pengundi berdaftar ialah 854,912. Peningkatan ketara adalah antara
1982 dengan 1986. Wujud pertambahan sebanyak 144,837 pengundi.
Peratusan terbaik adalah pada 1969 dengan 79.60 peratus turun mengundi ketika
rakyat ghairah dan teruja untuk mengundi dengan sebahagian besar penduduk masih
tinggal di luar bandar. Jumlah itu mulai merosot pada PRU 1974 hinggalah 1990.
Pada 1974, peratusan yang turun mengundi ialah 75.10 peratus dan terus merosot
kepada sekitar 67 peratus pada 1990. Namun, peratusan mengundi meningkat kepada
70.15 peratus pada 1995, sebelum turun kembali menjadi 62.4 pada 1999.
Faktor geografi beri kesan undi
Mengapakah peratusan mengundi di Sarawak secara relatifnya rendah? Adakah
kerana tahap kesedaran politik mereka rendah? Atau disebabkan oleh faktor
geografi? Sebagai sebuah negeri yang mempunyai saiz fizikal yang hampir sebesar
Semenanjung, mengendalikan pilihan raya di Sarawak memang amat mencabar.
Dari segi logistik dan mobilisasi jentera pilihan raya, bayangkan cabaran dan
kesukaran yang terpaksa dihadapi Suruhanjaya Pilihan Raya, jentera parti dan
calon di Sarawak? Adakah itu yang menyebabkan Baram, kawasan pedalaman
menyaksikan peratusan mengundi terendah sebanyak 49.65 peratus pada PRU lalu?
Atau adakah faktor cuaca dan geografi menjadi penyumbang?
Baram, Hulu Rejang, Kapit, Saratok dan Lubok Antu adalah kawasan yang mencabar
bukan sahaja kerana saiz yang besar, tetapi keadaan geografinya yang
bergunung-ganang serta memiliki sungai.
Selain faktor geografi, jika hujan turun sepanjang hari atau separuh hari,
keadaan ini boleh menjejaskan jumlah yang keluar mengundi. Pengundi tidak
berminat untuk keluar rumah kerana keadaan yang tidak selesa sehingga akhirnya
peratusan mengundi berkurangan. Jumlah pengundi boleh menentukan nasib calon.
Itulah sebabnya amat penting jentera akar umbi mengerah seluruh tenaga dan
sistem agar pengundi keluar mengundi.
Bagi kawasan hulu seperti Baram dan Hulu Rejang, memang menjadi mimpi ngeri
bagi pengarah bilik operasi di akar umbi untuk memastikan jentera mereka
bergerak dengan baik pada hari mengundi. Bukan mudah untuk menggerakkan
pengundi dari perkampungan dan rumah panjang yang terasing ke pusat mengundi.
Komitmen jitu pekerja parti amat dituntut.
Masalah pengangkutan
Adakah rendahnya peratusan undi di Sarawak dan sesetengah kawasan juga kerana
masalah mobiliti? Memang diakui pengundi dari kawasan terbabit yang bekerja di luar
balik adalah sesuatu yang sukar dan memakan kos yang tinggi. Bayangkan anak
tempatan yang berasal dari Baram yang bekerja di Pulau Pinang, adakah dia
sanggup balik semata-mata untuk mengundi.
Dia perlu menaiki pesawat ke Kuala Lumpur sebelum terbang ke Miri dan
seterusnya meneruskan perjalanan berjam-jam ke kampung halamannya. Berapa
orangkah yang sanggup berbuat demikian dan mengeluarkan kos tinggi? Langkah
syarikat penerbangan menawarkan pakej khas dengan harga istimewa bagi mereka
yang hendak balik mengundi melambangkan keprihatinan dan komitmen terhadap
tanggungjawab sosial korporat.
Segala langkah perlu diambil untuk memastikan jumlah pengundi yang keluar
mengundi pada PRU-13 meningkat. Peratusan mengundi yang tinggi memperlihatkan
minat politik dan kesedaran tinggi dalam kalangan rakyat terhadap politik.
Pilihan raya merupakan saluran utama rakyat membabitkan diri dalam proses
politik negara dengan sistem demokrasi.
Melalui pilihan raya, rakyat dan pengundi dapat menentukan corak pemerintahan
yang diingini. Sesungguhnya, melalui PRU ini, pengundi dapat memberi keabsahan
kepada wakil rakyat dan parti yang terpilih mentadbirkan negara. Justeru,
pengundi perlu memainkan peranan untuk menentukan wakil rakyat yang bakal
memperjuangkan nasib dan masa depan mereka.
Sumber: BH (22 April 2013)
No comments:
Post a Comment