Saturday, June 15, 2013

70 peratus guru BI tak fasih


Kuala Lumpur: Tujuh puluh peratus guru Bahasa Inggeris gagal menguasai bahasa itu dengan fasih berdasarkan ujian Cambridge Placement Test (CPT), tahun lalu. 

Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Mary Yap Kain Ching, berkata guru terbabit perlu meningkatkan penguasaan kerana tahap kefasihan yang rendah menyukarkan mereka mendidik pelajar untuk cemerlang dalam subjek berkenaan. 

Hanya 30 peratus guru Bahasa Inggeris yang menyertai CPT mencapai tahap fasih, katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Kepemimpinan Untuk Pelajar Pintar anjuran Yayasan Pintar, di sini semalam. 

Kain Ching bagaimanapun tidak menyatakan jumlah sebenar guru subjek itu yang mengikuti CPT, peperiksaan yang turut tersenarai dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025. Tahun ini, seramai 70,0000 guru opsyen Bahasa Inggeris diuji tahap kefasihan mereka. 


Tingkat tahap kefasihan 

Beliau berkata, kementerian sudah meminta semua guru yang gagal menguasai bahasa itu supaya berusaha meningkatkan tahap kefasihan mereka. 

Katanya, ia penting untuk meningkatkan pencapaian pelajar mereka termasuk persediaan ke arah merealisasikan syarat wajib lulus Bahasa Inggeris dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai 2016. 
Mengenai kaedah berkesan untuk meningkatkan penguasaan guru menggunakan bahasa itu, beliau berkata, ia termasuk melaksanakan amalan baik yang pernah dijalankan sebelum ini seperti hari berbahasa Inggeris dan minggu bahasa Inggeris. 

Selain itu, sebelum perhimpunan harian bermula, guru terbabit boleh menyampaikan syarahan atau membuat persembahan drama menggunakan bahasa itu. Mereka juga boleh menubuhkan Kelab Bahasa Inggeris yang menggunakan sepenuhnya bahasa berkenaan sebagai perantara dalam semua kegiatan, katanya. 

Mengenai desakan berterusan pihak tertentu supaya sekolah vernakular dimansuhkan, Kain Ching berkata, sekolah jenis itu juga sebahagian sistem pendidikan negara dan termasuk dalam pelaksanaan PPPM 2013-2025. 


Kemuka cadangan 

Katanya, setiap kumpulan atau individu berhak mengemukakan cadangan, namun ia perlu disusuli analisis sama ada sesuai dengan dasar ditetapkan kerajaan atau sebaliknya. 

Seperti saya tegaskan sebelum ini, pendidikan tidak seharusnya dipolitikkan kerana ia menyukarkan kita melahirkan modal insan cemerlang menerusi sistem pendidikan berkualiti, katanya.

:) Berita Harian 15 Jun 2013

No comments:

Post a Comment