KUALA LUMPUR 15 Jun - Graduan di negara ini harus mula
mengubah minda daripada hanya menjadi pencari kerja kepada penjana pekerjaan
dengan merebut peluang dalam bidang keusahawanan.
Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh berkata,
Malaysia amat memerlukan lebih ramai usahawan daripada kalangan graduan untuk
menjadi pemangkin transformasi ekonomi negara.
"Kita mahu graduan menjadi usahawan dan tidak hanya
bergantung kepada mencari pekerjaan dengan syarikat-syarikat swasta kerana kita
tahu golongan ini mempunyai daya saing yang kental dan mampu menjadi lebih
kreatif," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas
merasmikan Karnival Kerjaya dan Keusahawanan Graduan 2013 anjuran Kementerian
Pendidikan di sini hari ini.
Idris berkata, walaupun tahap kebolehpasaran graduan di
negara ini amat baik, namun hanya 30 peratus daripada golongan ini menerima
gaji melebihi RM2,500.
"Oleh kerana itu, bidang keusahawanan harus menjadi
pilihan utama para graduan. Disebabkan itu, kementerian akan terus memberikan
penekanan terhadap perkara ini," katanya.
Dalam perkembangan lain, Idris ketika diminta mengulas
desakan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terhadap kerajaan agar melaksana
satu sistem persekolahan berkata, kementerian kini lebih memfokuskan untuk
meningkatkan kualiti sistem sekolah kebangsaan agar menjadi pilihan semua
rakyat Malaysia.
"Kita fokus untuk memastikan sekolah dan universiti
menjadi yang terbaik, apabila itu tercapai, maka Malaysia akan menjadi sebuah
negara yang bersatupadu," katanya.
Beliau berkata, antara usaha utama dalam mencapai matlamat
meningkatkan kualiti sistem pendidikan negara adalah dengan membaiki tahap
penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar dan guru yang kini masih
dianggap berada di tahap kurang memuaskan.
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment