BETONG: Penggunaan Bahasa Iban standard wajib digunakan
dalam pelbagai bidang merangkumi pendidikan di sekolah serta disebarkan dalam
siaran media cetak, elektronik dan akhbar agar dapat dipelajari oleh masyarakat
lain bagi mengangkat martabat kaum Iban di Sarawak.
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Dato Sri
Douglas Uggah Embas berkata, memperkenal bahasa yang betul dapat memberi
pengetahuan masyarakat sekali gus mendalami dan mendedahkan mereka dengan penggunaan
yang tepat dalam sebutan bahasa tersebut.
Tambahnya, kerajaan telah membelanjakan lebih RM2 juta
untuk mencetak bahan-bahan untuk pendidikan Bahasa Iban agar dapat dijadikan
rujukan dalam pembelajaran di peringkat sekolah.
Jelasnya, pelaksanaan pendidikan Bahasa Iban di
sekolah-sekolah telah lama diperkenalkan dan menjadi salah satu mata pelajaran
pilihan di kalangan pelajar.
“Sejak 2011, Pendidikan Bahasa Iban menjadi salah satu
pengkhususan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang menyediakan
pengambilan seramai 20 pelajar dalam Jurusan Pendidikan Bahasa Iban untuk
menjadi tenaga pendidik dalam bidang tersebut.
“Apapun jumlah tersebut masih kurang dan kita berusaha
mengusulkan penambahan pengambilan pelajar dalam jurusan tersebut kepada Menteri
Pendidikan,” katanya pada Mesyuarat Tahunan Persatuan Pembangunan Pembangunan
Pendidikan Bahasa Iban (AEDIL) 2013 di Rumah Kerehatan Kerajaan Betong di sini,
semalam.
“Jika keperluan tersebut tidak ditambah, maka kita akan
mengambil masa yang agak lama untuk menghasilkan tenaga pengajar yang
diiktiraf,” katanya.
Sementara itu, Presiden AEDIL Dr Lambat Lindong
menjelaskan penubuhan persatuan tersebut adalah atas dasar pembangunan Bahasa
Iban bukan sahaja sebagai salah satu pendidikan di sekolah, tetapi juga harus
dibangunkan merangkumi idea-idea bernas oleh para pendidik di kalangan
pengetua, pegawai, pensyarah dan guru.
“Persatuan ini didaftar di bawah Jabatan Pendaftaran
Pertubuhan (ROS) sejak 2009 dan dilancarkan dengan rasminya oleh Timbalan Ketua
Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang.
“Mesyuarat Agung Pertama diadakan pada 2011 di SMK St
Augustine Betong dan ahli semasa adalah antara yang menjadi peneraju persatuan
dan Majlis Tertinggi (MT) yang menggalas tanggungjawab mengembangkan persatuan.
“Kita berusaha untuk memartabatkan Bahasa Iban sebagai
warisan bangsa yang kekal dan sejati dalam melonjakkan kecemerlangan bahasa itu
ke tahap lebih tinggi,” tegasnya.
Turut hadir Pegawai Tadbir Sarawak (SAO) Ludan Lintong
dan Pengetua SMK St Augustine, Paul Langgang.
Sumber: BP (21/7/2013)
No comments:
Post a Comment