KUCHING: Penempatan kira-kira 600
guru baru di Sarawak menjelang bulan depan atau Mac dijangka dapat mengurangkan
masalah kekurangan guru terutama di luar bandar, kata Menteri Kebajikan, Wanita
dan Pembangunan Keluarga Negeri Datuk Fatimah Abdullah.
Beliau berkata, guru-guru ini
akan ditempatkan di Sekolah Rendah dan Sekolah Menengah yang mengalami
kekurangan guru terutama guru agama dan bahasa Melayu.
"Kita berkongsi keprihatinan
rakyat dan akan memastikan kemudahan pengajaran, sumber manusia dan
infrastruktur dinikmati oleh anak-anak kita di Sarawak sama seperti kanak-kanak
lain di negara ini," katanya ketika menghadiri taklimat Pengarah Pelajaran
Negeri, Abdillah Adam di sini, hari ini.
“Kini terdapat 364 kekosongan
dari kuota 14,327 yang perlu diisi di Sekolah Menengah, 354 kekosongan di
Sekolah Kebangsaan daripada 20,002 kuota sementara Sekolah Jenis Kebangsaan
mempunyai 64 kekosongan daripada 5,111 kuota,” katanya.
Data jabatan berkenaan turut
menunjukkan sejumlah 4,117 guru kelahiran Sarawak berkhidmat di luar Sarawak
termasuk 879 di Sabah, 821 di Selangor, 638 di Johor dan 292 di Wilayah
Persekutuan Kuala Lumpur sehingga 31 Oktober tahun lalu.
Mengenai penutupan sekolah yang
terdapat sebilangan kecil pelajar, Fatimah berkata, kini terdapat 600 sekolah
yang mempunyai pelajar kurang dari 150 orang di seluruh Sarawak, tetapi pihak
berkaitan termasuk Jabatan Pelajaran perlu terlebih dulu berbincang dengan
masyarakat setempat sebelum keputusan dibuat untuk menutup sekolah berkenaan
atau menempatkan pelajar di sekolah lain.
Beliau berkata, beberapa isu
seperti keadaan sekolah berasrama di luar bandar yang yang uzur dan kekurangan
kemudahan infrastruktur akan dibangkitkan kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan
Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran ketika melawat Sarawak minggu
depan. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment