Thursday, January 31, 2013

Karenah anak-anak didik

Fuhhh....Hampir seminggu sudah praktikum bermula. Maaflah kerana baru menulis hari ini. Ini sahaja kesempatan yang ada. Ini pun mencuri masa yang saya ada. Itulah dulu selalu marah orang kalau kata tak cukup masa. Sekarang diri terkena pula. Macam-macam berlaku apabila 24 jam tak cukup. Sampai terbawa-bawa ke dalam mimpi. Teruknya sayakan!!

Minggu ini, tema yang digunakan ialah ANGGOTA BADAN (BAHAGIAN KEPALA). Macam-macam aktiviti dirancang untuk menarik minat anak-anak didik untuk terus lekat bersama saya di dalam kelas tanpa perlu melayang memikirkan ibu bapa di rumah, adik atau apa saja yang mengganggu fikiran mereka. Syukur juga berjaya. Bohong juga kalau kata tak ada anak-anak didik yang nakal. Itkan budak namanya. Kalau dah besar dan dewasa siapa yang mahu nakal. Mesti jadi budak baik. Walaupun dalam hati ada nakal!!!

Foto-foto yang saya ambil semasa aktiviti dijalankan akan saya upload nanti sajalah. Mungkin hujung minggu ini akan saya usahakan dan mencuri sedikit masa yang ada. Thank. Bye byeeee

Thursday, January 24, 2013

Anugerah Pengarah 2012

Penerima Anugerah Pengarah 2012
Azam tahun baharu 2012 yang lalu ada yang telah berjaya dicapai. Perancangan dan azam tahun 2012; saya mahu berjaya dengan cemerlang walau apa pun bidang yang saya ceburi. Akhirnya menjadi kenyataan. Anugerah Pengarah 2012 telah berjaya saya terima pada 18 Januari 2013. Terima kasih kepada Tuhan kerana mendengar doa dan permintaan ini! Terima kasih Tuhan kerana memberikan ganjaran yang setimpal dengan usaha diri sepanjang tahun 2012. 


Penulis menerima Anugerah Pengarah 2012

Untuk tahun 2013, saya turut menyimpan azam yang lebih kejap dan gah! Nantilah akan saya khabarkan sekiranya azam itu tercapai dan berjaya dilaksanakan...
Kenangan Terindah
"Bukan mahu menunjuk, Tapi sekadar mahu berkongsi kegembiraan. Tiada apa yang lebih bermakna dalam sebuah kejayaan melainkan berjaya mengalahkan diri sendiri.!"

600 Guru Baru di Sarawak Menjelang Bulan Depan



KUCHING: Penempatan kira-kira 600 guru baru di Sarawak menjelang bulan depan atau Mac dijangka dapat mengurangkan masalah kekurangan guru terutama di luar bandar, kata Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Negeri Datuk Fatimah Abdullah.



Beliau berkata, guru-guru ini akan ditempatkan di Sekolah Rendah dan Sekolah Menengah yang mengalami kekurangan guru terutama guru agama dan bahasa Melayu.

"Kita berkongsi keprihatinan rakyat dan akan memastikan kemudahan pengajaran, sumber manusia dan infrastruktur dinikmati oleh anak-anak kita di Sarawak sama seperti kanak-kanak lain di negara ini," katanya ketika menghadiri taklimat Pengarah Pelajaran Negeri, Abdillah Adam di sini, hari ini.

“Kini terdapat 364 kekosongan dari kuota 14,327 yang perlu diisi di Sekolah Menengah, 354 kekosongan di Sekolah Kebangsaan daripada 20,002 kuota sementara Sekolah Jenis Kebangsaan mempunyai 64 kekosongan daripada 5,111 kuota,” katanya.

Data jabatan berkenaan turut menunjukkan sejumlah 4,117 guru kelahiran Sarawak berkhidmat di luar Sarawak termasuk 879 di Sabah, 821 di Selangor, 638 di Johor dan 292 di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sehingga 31 Oktober tahun lalu.

Mengenai penutupan sekolah yang terdapat sebilangan kecil pelajar, Fatimah berkata, kini terdapat 600 sekolah yang mempunyai pelajar kurang dari 150 orang di seluruh Sarawak, tetapi pihak berkaitan termasuk Jabatan Pelajaran perlu terlebih dulu berbincang dengan masyarakat setempat sebelum keputusan dibuat untuk menutup sekolah berkenaan atau menempatkan pelajar di sekolah lain.

Beliau berkata, beberapa isu seperti keadaan sekolah berasrama di luar bandar yang yang uzur dan kekurangan kemudahan infrastruktur akan dibangkitkan kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran ketika melawat Sarawak minggu depan. - BERNAMA

Lunas dendam


Oleh Iman Firdaus

Bintulu: “Aku bayar dendam aku,” kata Angsa Indang, 45, sambil membelah perut Bujang Suai iaitu seekor buaya sepanjang 13 meter yang disyaki membaham anak bongsunya sebulan lalu ketika mandi di Sungai Suai, dekat sini.
Semalam, reptilia yang dikatakan membunuh Jerry Apat, 11, murid tahun lima Sekolah kebangsaan Kampung Iran itu berjaya ditangkap dua pawang buaya, Nyegang Nawing dan Agong Rayang dari Sungai Temiang, Bakong menggunakan umpan daging babi kira-kira 100 meter dari lokasi kejadian.

Buaya jantan yang turut diberi nama jolokan S Jibeng oleh penduduk setempat itu dikatakan digeruni kerana dipercayai pernah mengganas dan meragut nyawa manusia berdasarkan beberapa kesan luka tembakan pada kepala dan ekor termasuk mata kiri yang buta.


Pemburuan menggunakan kaedah tradisional itu dimulakan petang Isnin lalu menggunakan pancing lebih 10 mata kail bertali rotan dan berumpan daging babi itu berhasil membunuh buaya berkenaan kira-kira jam 12 tengah hari, semalam.
Foto
ANGSA duduk di atas buaya yang membaham anaknya selepas ditangkap. KESAN tembakan di bahagian perut buaya (gambar kecil).



Sebaik bangkai reptilia itu ditarik ke darat, Angsa dilihat menghampirinya sambil melepaskan kemarahan dengan beberapa kali menghamburkan kata-kata “aku bayar dendam aku”, “kenapa kacau aku” dan “kau bunuh anak aku”.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/2

Wednesday, January 23, 2013

Praktikum Oh Praktikum

Selamat malam!! Lama pula rasanya tidak menulis di blog ini. Al-maklumlah, sekarang tengah sibuk membuat persediaan untuk praktikum yang bakal bermula 28 Januari 2013 ini. Banyak perkara perlu dibuat pertimbangan dan diteliti.

Dalam pada itu, sakit mata pula bertandang. Aduh, hari ini genap 8 hari sakit mata ini menyerang. Bilalah nak sembuh? Saya dah dua kali pergi ke farmasi dan klinik. Tapi masih tetap sama keadaannya. Tidak berubah. Malahan berjangkit pula ke mata sebelah kanan pula. Risau pula dibuatnya. Macamana nak praktikum kalau sakit mata? Takut berjangkit pula kepada anak-anak murid pula. Harap-harap sembuhlah sebelum minggu depan. Amean!!!


Sunday, January 13, 2013

Chelsea lonjak ke tangga ketiga


LONDON: Chelsea memperbaiki kedudukan apabila melonjak ke tangga ketiga mengatasi Tottenham dalam Liga Perdana Inggeris hasil dua gol sendiri daripada pemain yang sama ketika membelasah Stoke 4-0 dan meleburkan rekod tunggal tanpa kalah di tempat sendiri.

Spurs yang seri tanpa jaringan ketika menentang kelab di tangga tercorot, Queens Park Rangers mencetuskan peluang kepada juara Eropah itu untuk menjadi pencabar terdekat terhadap Manchester United dan City yang beraksi hari ini. 

Chelsea ternyata mempamerkan persembahan terbaik pada perlawanan berkenaan. Penyerang Stoke, Jonathan Walters ditimpa bala pada perlawanan awal pagi itu apabila menanduk masuk gol sendiri pada minit ke-45 dan ke-62 bagi menghadiahkan kemenangan kepada Chelsea.  Dia turut mensia-siakan sepakan penalti pada minit akhir perlawanan. - AP

Sumber:

Friday, January 11, 2013

Kurikulum baharu 2016

Oleh MOHD. ASRON MUSTAPHA
KEMENTERIAN Pelajaran akan melaksanakan kurikulum persekolahan baru iaitu Kurikulum Standard Sekolah Rendah - Semakan Semula (KSSR) mulai 2016 dan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) pada 2017 dalam usaha melonjak sistem pendidikan negara.

Kurikulum baru itu dirangka berdasarkan tanda aras antarabangsa bagi memastikan murid dan pelajar yang dilahirkan oleh sistem persekolahan di negara ini memiliki kemahiran yang diperlukan untuk bersaing di peringkat global.

Ia merangkumi dimensi intelek, emosi dan fizikal setiap murid serta menekankan aplikasi pengetahuan serta perkembangan pemikiran kritis, kreatif dan inovatif selain memberi peluang melibatkan diri dalam aktiviti sukan dan kurikulum.

Pengenalan kurikulum baru itu juga selaras dengan pemansuhan Penilaian Menengah Rendah (PMR) mulai 2014 serta perubahan penilaian ke atas murid tahun enam yang tidak lagi dibuat berdasarkan keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) semata-mata.

Ini kerana mulai 2016 juga gred pencapaian UPSR murid tahun enam tidak akan lagi ditentukan melalui peperiksaan awam sahaja tetapi digabung sekali dengan pentaksiran sekolah dan pentaksiran pusat.

Pelaksanaan kurikulum baru ini pula akan melalui tiga fasa iaitu gelombang satu (2012-2015) iaitu fasa persediaan, gelombang kedua (2016-2020) iaitu fasa pelaksanaan dan gelombang ketiga (2021-2025) iaitu fasa pentaksiran.

Menurut Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025, sebagai persiapan sebelum memperkenalkan kurikulum baru itu kementerian akan memurnikan kurikulum sedia ada dan mempergiatkan sokongan kepada guru bagi meningkatkan sistem penyampaian.

"Kementerian sedar masih banyak yang perlu dilakukan untuk memastikan keberkesanan pelaksanaan kedua-dua aspek kurikulum baru ini, untuk itu gelombang pertama transformasi pendidikan akan memberi tumpuan kepada inisiatif jangka pendek.

"Ia bagi memastikan kurikulum bertulis, kurikulum yang diajar dan kurikulum pentaksiran dapat ditambah baik selain meletakkan asas kepada perubahan fundamental sebelum gelombang kedua dan ketiga dilaksana dan dikaji semula untuk melihat tahap pencapaian," jelas laporan itu.

- UTUSAN

Tiga gelombang pembaharuan


Oleh METRA SYAHRIL MOHAMED
TIGA gelombang pembaharuan yang bertujuan meningkatkan prestasi sistem pendidikan negara ditetapkan untuk dilaksanakan dalam tempoh 13 tahun bermula tahun depan hingga 2025.
Laporan awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 menjelaskan, menerusi Gelombang Pertama membabitkan tahun pelaksanaan 2013 hingga 2015, sasaran diletakkan bagi menambah baik kualiti pendidikan negara supaya setanding dengan pencapaian purata global.

Menurut laporan itu, sepanjang pelaksanaan gelombang itu, Kementerian Pelajaran menentukan tiga bidang tumpuan iaitu menambah baik pengajaran di bilik darjah, meningkatkan kepimpinan kementerian dan sekolah serta meningkatkan kecekapan guru bahasa Inggeris.

"Hal ini tidak bermakna inisiatif perubahan akan menumpukan perhatian kepada tiga bidang berkenaan sahaja malah terdapat inisiatif yang memberikan tumpuan kepada isu lain seperti penambahbaikan kurikulum dan peningkatan infrastruktur.

"Bagaimanapun, tiga bidang itu dipilih sama ada ketiga-tiganya merupakan pemacu utama bagi menambah baik kualiti guru dan pengetua atau kerana keperluan bagi keseluruhan aspirasi ekonomi negara (bahasa Inggeris)," jelas laporan tersebut.

Bagi Gelombang Kedua (2016-2020), laporan berkenaan memberitahu, kementerian akan melaksanakan perubahan dari segi struktur untuk mempercepat langkah perubahan dengan perancangan bagi semua inisiatif akan bermula semasa gelombang pertama.

Perancangan itu termasuk menggerakkan semua 410,000 orang guru dan 10,000 pengetua atau guru besar kepada pakej kerjaya baru selain menstruktur dan menjajarkan pejabat Persekutuan, negeri serta daerah terhadap fungsi baru.

Ini bagi membolehkan pejabat berkenaan membantu sekolah dan memperkenalkan kurikulum sekolah menengah yang baru dan kurikulum sekolah rendah yang disemak dalam menangani isu mengenai pengetahuan, kemahiran dan nilai yang diperlukan untuk berkembang maju di persekitaran ekonomi global masa kini.

Sementara itu laporan itu menyebut, semasa awal Gelombang Ketiga (2021-2025) pula, semua sekolah, guru dan pengetua seharusnya menunjukkan prestasi yang lebih tinggi daripada standard minimum.

"Oleh itu, kementerian akan menumpukan perhatian kepada peningkatan keluwesan operasi untuk menyemai budaya pemimpin rakan sebaya ke arah kecemerlangan profesional. Kementerian juga akan menggerakkan kebanyakan sekolah, jika tidak semuanya, ke arah model pengurusan berasaskan sekolah dan menambah model inovasi pengajaran yang berjaya.

"Matlamatnya adalah untuk membentuk suatu sistem tadbir urus kendiri yang mampu membuat pembaharuan dan membawa pencapaian ke tahap lebih tinggi," tambah laporan itu.

Jelas laporan itu, kementerian menyedari kepentingan serta kesegeraan dalam melaksanakan tugasan yang sedang dijalankan dan untuk itu, kementerian akan mula mengambil tindakan awal dalam beberapa bidang kritikal.

"Sebahagian besar daripada tindakan awal itu akan menjadi asas perubahan dramatik pada masa depan. Bagaimanapun kementerian juga menyedari keperluan menghasilkan pencapaian dengan kadar segera dan konsisten bagi membina dan mengekalkan momentum transformasi.

"Dalam 12 bulan yang akan datang, kementerian mempunyai kesungguhan untuk melaksanakan perubahan dan mendapatkan hasil seperti semua 70,000 guru bahasa Inggeris dinilai pada tahap kecekapan berbahasa mengikut standard antarabangsa dan syarat pengambilan guru diperketat selain semua 10,000 sekolah rendah dan menengah kebangsaan akan mendapat liputan internet 4G melalui pelaksanaan 1BestariNet," jelas laporan berkenaan.

Sumber:http://www.moe.gov.my/bpk/v2/index.php?option=com_content&;view=article&id=269&lang=en

Wednesday, January 9, 2013

Foods That Kill Cancer

Foods That Kill Cancer


7 Most Alkaline Foods

Entry kali ini memaparkan makanan yang boleh digunakan utnuk mencegah kanser. Ini kerana ramai di antara kita tidak menyedari akan makanan-makanan ini. Ramai yang tidak sedar akan kebaikannya. Kata orang mencegah lebih baik daripada mengubati. Jadi, amalkanlah selalu.

Guru Oh Guru

An average TEACHER - tells.
A good TEACHER - explains.
A superior TEACHER - demonstrates.
A great TEACHER - inspires.

Tuesday, January 8, 2013

Minum teh bantu cegah kanser ovari


JIKA anda memiliki kebiasaan meminum teh sejak remaja, tabiat tersebut sebenarnya dapat membantu anda menjauhi risiko kanser ovari.
Menurut satu kajian yang diterbitkan Jurnal Epidemilogi Kanser baru-baru ini, teh adalah minuman yang selamat, murah dan banyak khasiatnya.
Kajian yang dijalankan Panel Penasihat Teh ini turut mengesyorkan kaum Hawa supaya minum lebih banyak teh kerana manfaatnya yang boleh mencegah penyakit kanser pembunuh.
Penyelidikan yang melibatkan 1,000 responden wanita berusia dalam lingkungan 59 tahun ini mendapati, responden yang biasa meminum teh untuk jangka masa yang lama tidak memiliki penyakit yang biasa dihidapi oleh wanita yang tidak menggemari teh.
Para penyelidik dari Sekolah Kesihatan Masyarakat di Universiti Curtin, Perth, Australia yang melakukan kajian ke atas 1,000 responden wanita di China mendapati, 78 peratus wanita yang tidak menghidap kanser memiliki kebiasaan minum teh jika dibandingkan dengan 51 peratus golongan yang berpenyakit.
Kandungan flavonoid yang ditemui dalam teh hitam memiliki kemampuan dalam melawan penyakit malah tabiat menambah susu ke dalam teh juga tidak melemahkan kemampuannya dalam mencegah kanser ovari.
Penyelidik di Panel Penasihat Teh, Dr. Catherine Hood memberitahu, hasil daripada kajiannya itu menunjukkan flavonoid memiliki manfaat sebagai antioksidan dan antiradang yang boleh mengurangkan pertumbuhan kepada sel tubuh.
"Hasil kajian ini membuktikan terdapat kaitan antara kekerapan pengambilan teh dengan pengurangan risiko kanser ovari.
"Begitupun, minum secawan teh sekali-sekala belum tentu dapat mengurangkan risiko kanser. Manfaatnya jelas lebih berkesan dalam jangka masa panjang apatah lagi jika meminum teh dijadikan tabiat seharian," kata Hood.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0106&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_07.htm#ixzz2HMKsUHUW 

Kisah Datuk Temenggong Kanang Anak Langkau


Tak mati jantung kena peluru





TANGGAL 3 Januari lalu, negara dikejutkan dengan berita pemergian seorang pahlawan yang terkenal dengan sifat keberaniannya mempertahankan negara daripada ancaman komunis.
Datuk Temenggong Kanang Anak Langkau, 68, disahkan meninggal dunia di Hospital Umum Sarawak (HUS), pada pukul 1.45 pagi, dua jam selepas beliau dilaporkan rebah di rumahnya di Sungai Apong, Kuching, Sarawak.
Anak jati Sarawak yang dilahirkan di Julau pada 2 Mac 1945 itu meninggalkan seorang isteri, Datin Brawang Chunggot, 55, dan enam orang anak serta lapan cucu hasil perkahwinannya dengan isteri pertama, Helen Latai Intie yang meninggal dunia akibat kanser pada Januari 2011.
Mendiang berkesempatan meriwayatkan perjuangannya melalui beberapa wawancara dan pengkisahan perjuangannya, bagaimanapun filem yang bertajuk Kanang Anak Langkau belum sempat disiapkan semasa hayatnya.
Ditembak
Mendiang sebelum ini pernah disangka meninggal dunia apabila tidak sedarkan diri selama seminggu dan terlantar di hospital selama 14 bulan akibat terkena tembakan dalam pertempuran dengan komunis di hutan Tanah Hitam, Perak pada 8 Februari 1980.
Dalam kejadian itu, Kanang ditembak tiga kali dan hampir menemui ajal selepas peluru mengenai jantung, merosakkan satu buah pinggang, selain usus perut terburai.
Kanang yang bersara daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan pangkat terakhir sebagai Pegawai Waran 1 merupakan penerima tunggal dua pingat keberanian utama negara iaitu Seri Pahlawan Gagah Perkasa (SP) dan Panglima Gagah Berani (PGB).
Sebagai renjer yang terkenal dengan moto 'Agi idup agi ngelaban' (Berjuang selagi masih hidup), Kanang diingati sebagai perwira negara yang unggul dan tidak takut mati demi mempertahankan negara daripada ancaman komunis, selain terbabit dalam konfrontasi dan kekacauan di Brunei ketika berkhidmat dengan Tentera British.
KANANG menyertai bidang ketenteraan secara kebetulan ketika dipelawa oleh seorang tentera British.


Mengimbas sedikit latar belakang wira negara ini, Kanang merupakan anak kelima daripada enam orang adik-beradik. Ketika kecil, ibu bapanya berpisah dan beliau dipelihara oleh datuk dan neneknya.
Kanang yang berasal daripada komuniti Dayak (Iban) itu bersekolah hingga darjah tiga di Sekolah Local Authority sebelum melakukan pelbagai kerja seperti menjadi tukang masak, penoreh getah dan mengangkut penumpang dengan menggunakan perahu berenjin.
Beliau menjadi tentera secara kebetulan setelah dipelawa seorang anggota tentera British ketika menghantar 20 orang pemuda yang hendak menghadiri temu duga bagi menyertai Iban Tracker di sebuah sekolah berhampiran kampungnya.
Kanang kemudian diserap ke dalam Renjer Malaysia setahun selepas itu apabila Persekutuan Malaysia diisytiharkan pada 16 September 1963.
Pada awal 1962, beliau menyertai Jungle Warfare School di Ulu Tiram, Johor selama tiga bulan sebelum berkhidmat dengan unit 42nd Royal Marine Commandos yang berpangkalan di Johor.
Pada 1963, apabila Presiden Sukarno (ketika itu) melancarkan Konfrontasi Ganyang Malaysia, beliau antara anggota pasukan pertama dihantar ke Kota Tinggi, Johor untuk menghalang kemasukan tentera Indonesia.
Beliau juga pernah bertugas dengan unit 1st Royal New Zealand Army di Sarawak ketika zaman konfrontasi, kemudian berkhidmat dengan Sarawak Rangers yang akhirnya menjadi kumpulan trackers profesional pertama dalam 1st Ranger Regiment ATM.
Pada 19 Februari 1980, Platun Risik Gempur (UCIS) 8 Renjer diketuai Kapten Johnson Anak Meling dibantu oleh Kanang yang ketika itu berpangkat Sarjan, ditugaskan ke kawasan tanah hitam di Perak untuk menjejak segerombolan pengganas komunis yang menembak mati seorang anggota 25 RAMD (Rejimen Askar Melayu Diraja) beberapa hari sebelumnya.
Pada mula operasi itu, Kanang berjaya mengesan jerangkap samar, tetapi digempur musuh sehingga cedera parah di perut dan belakang. Namun dengan semangat waja demi mempertahankan negara, beliau tidak menyerah kalah, sebaliknya terus bersabung nyawa melawan musuh.
Mengenang jasanya membunuh musuh tanpa menghiraukan kecederaannya, Kanang dianugerah Pingat SP pada 3 Jun 1981 manakala pingat PGB pada 7 Jun 1987.


GAMBAR kenangan Kanang (depan, duduk kiri) semasa bertugas di Jambatan Nyulong Sarikei, Sarawak.



Kanang meneruskan khidmat sebagai jurulatih di Sekolah Tempur Pegawai Muda dan pada 1 Mei 1981, beliau dinaikkan pangkat sebagai Staf Sarjan dan seterusnya menjadi Kuatermaster Sarjan.
Pada 1 Oktober 1980, dia dinaikkan pangkat sebagai Pegawai Waran II dan Pegawai Waran I pada 17 Ogos 1985. Kanang bersara pada 30 Mei 1986 selepas berkhidmat selama 21 tahun.
Bagi mengisi masa terluang, beliau aktif memberikan ceramah kenegaraan di seluruh negara selain dilantik sebagai Temenggong Bahagian Sri Aman pada 2009.
Antara sumbangan utama beliau selepas bersara ialah menjayakan Ops Mai Pulai (Ops Bawa Balik).
Melalui operasi berkenaan, rangka 21 anggota Iban Trackers dan Sarawak Rangers yang terkorban di Semenanjung dan Singapura ketika menentang komunis sekitar 1948 hingga 1963 dibawa balik ke Sarawak untuk dikebumikan di Makam Pahlawan, Kuching pada 27 Julai 2011.
Wirawan contoh
Pencetus idea berkenaan, Leftenan Kolonel (B) Robert Rizal Abdullah berkata, Kanang memainkan peranan penting dalam usaha itu malah menganggotai jawatankuasanya sejak 2009.
Katanya, Kanang merupakan seorang yang komited walaupun operasi berkenaan pada mulanya hampir menemui kebuntuan sebelum penglibatan Kerajaan Negeri Sarawak.
"Dia seorang yang amat bertanggungjawab dan kita berikannya peranan untuk melaksanakan tugas-tugas khas. Tanpa Kanang, mungkin operasi itu tidak akan berjaya.
"Kanang juga mengetuai operasi penggalian kubur-kubur pejuang terbabit di Kuala Lumpur dan Taiping, Perak malah menyempurnakan upacara khas 'Miring Nyambut Bujang Berani Turun Sembilan'," ujarnya.
Kanang disifatkan sebagai seorang wirawan contoh yang mengukir nama dengan darah serta air mata.
Menurut penulis buku biografi Kanang: Cerita Seorang Pahlawan, Mejar (B) Dr. Maznan Noordin, tidak akan ada manusia seperti Kanang selepas ini kecuali jika berlaku lagi peperangan di negara ini.
Jelas beliau, Kanang adalah ikon patriotisme yang akan abadi di hati rakyat buat selamanya kerana sanggup mengorbankan nyawa demi menyelamatkan maruah dan kedaulatan negara.
"Mendiang dan anggota tentera lain begitu berani dan bersemangat apabila berdepan dengan musuh, ini digambarkan dalam Operasi Pukat yang mana Kanang berjuang habis-habisan menentang pengganas komunis.
"Mendiang telah cedera parah ketika bertempur dengan pengganas komunis, namun Kanang meminta rakan-rakan dalam pasukannya meneruskan perjuangan menentang kumpulan pengganas berkenaan.


MAYAT Kanang yang meninggal dunia akibat sakit jantung 3 Januari lalu diberi penghormatan negara.



"Selepas bersara, Kanang meneruskan kehidupan yang sederhana sebagai petani dan isterinya berniaga secara kecil-kecilan untuk menampung perbelanjaan keluarga. Walaupun kehidupannya agak perit selepas bersara, mendiang bersyukur kerana semua pihak menghargai setiap pengorbanan yang telah dicurahkannya kepada negara," ujarnya.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0106&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm#ixzz2HMJGEyjM  

Messi terbaik dunia


Oleh: Gaddafi Musli (myMetro)
BINTANG bola sepak kelahiran Argentina, Lionel Messi, 25, dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Dunia buat kali keempat berturut-turut awal pagi tadi.
Anugerah Ballon d’Or FIFA 2012 menjadi milik Messi selepas pemain Barcelona itu memecahkan rekod dengan menjaringkan 91 gol untuk kelab dan negaranya mengatasi legenda bola sepak Jerman, Gerd Muller yang menjaringkan 85 gol pada tahun 1972.
Pemain Real Madrid dan Portugal, Cristiano Ronaldo berada di tempat kedua manakala rakan sepasukan Messi, Andres Iniesta di tempat ketiga.

Dalam Majlis Anugerah FIFA yang diadakan di Zurich, Switzerland itu, Messi menerima 41.60 peratus undian mengatasi C.Ronaldo (23.68 peratus) dan Iniesta (10.91 peratus).
Foto

Dia menerima Anugerah Pemain Terbaik Dunia FIFA pada 2009 sebelum memenangi Ballon d’Or FIFA pada 2010 dan 2011 apabila gelaran berkenaan digabungkan dengan anugerah Ballon d’Or yang dianjurkan oleh majalah France Football.

Penyerang legenda Brazil, Ronaldo dan pemain tengah Perancis, Zinedine Zidane dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Dunia FIFA sebanyak tiga kali namun bukan secara berturut-turut, manakala Michel Platini memenangi anugerah Ballon d’Or tiga kali berturut-turut pada tahun 80-an. - REUTERS


Senarai Pemenang
  • Jurulatih Terbaik 2012 - Vicente Del Bosque (Sepanyol) dan Pia Sundhage (Bekas jurulatih pasukan wanita Amerika Syarikat)
  • Pemain Wanita Terbaik 2012 - Abby Wambach (AS)
  • Anugerah Puskas (Jaringan Terbaik) - Miroslav Stoch, Fenerbahçe
  • Anugerah Presiden FIFA - Franz Beckenbauer
  • Anugerah FIFA Fair Play - Uzbekistan
    Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/08
  • Saturday, January 5, 2013

    Anugerah Juara Lagu Ke-27

    6 Januari 2013, akan berlalngsunglah AJL 27. 12 buah lagu akan dipertandingkan. Saya kira, AJL kali ini mempunyai lagu yang hebat-hebat. Kesemua lagu tersebut mempunyai kekuatan masing-masing dan mempunyai peluang untuk menang.
    Giliran Persembahan

    Secara peribadinya, saya menjangkakan yang lagu Patah Seribu (Shila Amzah) boleh menggunguli AJL kali ini. Lagu Yuna (Terukir di Bintang) pun saya lihat turut mempunyai peluang. Lagu Hafiz ( Kuakui) dan duet Hafiz & Adira (Ombak Rindu) juga dilihat mampu memberikan saingan. 

    Shila Amzah (Patah Seribu)
    Yuna (Terukir Di Bintang)

    Hafiz (Kuakui)
    Hafiz feat Adira (Ombak Rindu)

    #Seperti yang dijangka, beberapa lagu yang dijangka akan menang. Tapi sayang, Terukir Di Bintang tidak dinyanyikan Yuna sendiri. Jika tidak, saya dapat rasakan persembahannya pun mungkin meletup. Lagu Patah Seribu (yang saya jangka untuk menang tidak menang juga). Bak kata penulis di sebuah akbhar, pentas berbeza, tidak mustahil kemenangan Patah Seribu di AIM tidak berulang di AJL27. Tetapi lagu Kuakui memang merupakan pilihan. Vokal Hafiz Suip memang sukar untuk ditidakkan kemantapannya. Syabas kepada semua pemenang !!!

    Thursday, January 3, 2013

    Kanang Anak Langkau meninggal dunia


    Kanang Anak Langkau meninggal dunia

    03/01/2013 11:58am

    KUCHING — Pahlawan negara, Datuk Temenggong Kanang Anak Langkau, meninggal dunia awal hari ini di Hospital Umum Sarawak.
    Mendiang berusia 68 tahun.
    Beliau meninggal dunia pada pukul 1.45 pagi, tidak lama selepas digegaskan ke hospital setelah pengsan di rumah akibat sesak nafas, kata balunya Datin Brawang Chunggat.
    "Kami sekeluarga masih terkejut kerana beliau tidak pernah mengadu sakit dan memang kelihatan sihat walafiat,” katanya.
    Kanang, yang bersara sebagai Pegawai Waran 1 daripada 8 Batalion Ranger, Angkatan Tentera Malaysia, merupakan soldadu tunggal yang menerima pingat Sri Pahlawan Gagah Perkasa (SP) iaitu pingat keberanian tertinggi negara, ketika masih hidup.— BERNAMA


    Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0103&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_03.htm#ixzz2GsyMTrde 
     

    Tip Kerjaya: Gaji baru: Khabar gembira untuk lepasan universiti


    Oleh: Dr Mohd Yahya Mohamed Ariffin (Disiar pada 3 Jan 2013)

    PADA kesempatan ini, penulis ingin mengucapkan selamat menyambut Hari Pekerja kepada semua pekerja sama ada di sektor awam mahupun swasta yang disambut pada 1 Mei setiap tahun. Semoga ia menjadi dorongan untuk bekerja dengan lebih bersungguh-sungguh bagi meningkatkan produktiviti negara.


    Jika kita berbalik pada 2 April lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak ketika melancarkan Laporan Tahunan Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) 2012 di Auditorium Perdana, Angkasapuri, Kuala Lumpur ada menekankan mengenai perlunya kerajaan menangani kos sara hidup rakyat negara ini yang dirasai semakin meningkat. 

    Perdana Menteri menyebut, Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang memberi keutamaan ialah untuk menangani kos sara hidup yang semakin tinggi meliputi kakitangan sektor awam dan swasta negara ini. 



    Sehubungan itu, pada tahun ini kerajaan menepati janjinya dengan pengumuman kenaikan gaji kepada kakitangan awam dan pelaksanaan gaji minimum untuk pekerja sektor swasta.


    Pengumuman itu bukan saja melegakan hati pekerja kedua-dua sektor itu, malah turut menggembirakan perasaan pelajar universiti yang bakal menikmati skim gaji baru itu apabila ditawarkan kerja kelak.


    Sektor awam



    Di bawah NKRA antara tumpuan ialah mengumumkan kenaikan gaji 7 hingga 13 peratus serta penambahbaikan pada kenaikan gaji tahunan bagi 1.4 juta kakitangan sektor awam yang dilihat memanfaatkan hampir 4 juta orang rakyat Malaysia. Kenaikan itu merupakan sebahagian daripada penambahbaikan Skim Saraan Malaysia (SSM).

    Penambahbaikan itu tentunya menarik minat lebih ramai golongan lepasan universiti untuk memohon sama ada jawatan yang memerlukan kelayakan ijazah sarjana muda atau diploma dalam pelbagai sektor dalam perkhidmatan awam.


    Analisis semasa mendapati laman web Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) menyenaraikan sebanyak 91 jenis jawatan untuk pemegang ijazah pertama dan ke atas.


    Contohnya, akauntan, arkitek, juru x-ray, juruukur, pegawai farmasi, pegawai perubatan, pegawai perancang bandar dan desa, pegawai sains, pegawai syariah dan pegawai kastam, manakala ada 79 jenis jawatan lain untuk lulusan diploma.


    Antaranya, penolong pegawai perikanan, penolong pegawai perpustakaan, penolong pegawai tadbir, penolong pegawai veterinar, penolong pegawai teknologi makanan, jururawat dan setiausaha pejabat. Jawatan kosong itu terdapat dalam Perkhidmatan Awam Am Persekutuan, serta Perkhidmatan Awam Negeri Melaka, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Perlis.


    Mulai Januari tahun ini, kerajaan telah membuat penambahbaikan pada SSM dengan memperkenalkan struktur gaji minimum-maksimum untuk gred lantikan dan kenaikan pangkat. Selain itu, kenaikan tahunan yang lebih baik untuk Gred 41 (kelulusan ijazah sarjana muda dengan kepujian) dan Gred 27/29 (diploma).


    Pegawai juga terus menikmati pelbagai elaun seperti elaun tetap khidmat awam, elaun tetap perumahan dan elaun bantuan sara hidup, malah elaun kritikal turut diberikan kepada beberapa perkhidmatan kritikal seperti pegawai perubatan, ahli farmasi dan jurutera.


    Sebagai contoh, Jurutera Gred 41 yang berkelulusan ijazah sarjana muda dengan kepujian menikmati gaji pokok permulaan pada RM2,359 dan elaun lain sekitar RM1,000 sebulan dengan kadar kenaikan tahunan sebanyak RM225. Ini bermakna dalam perkhidmatan awam, seorang jurutera yang baru bergraduasi menerima gaji lebih RM3,000 sebulan.


    Sementara jururawat yang berkelulusan diploma (Gred 29) mendapat gaji permulaan sebanyak RM1,311 dan elaun sekitar RM700 sebulan, manakala kenaikan tahunan sebanyak RM145. Pada setiap bulan lepasan diploma kejururawatan membawa pulang lebih RM2,000.


    Sektor swasta



    Bagi sektor swasta, Perdana Menteri mengumumkan pelaksanaan gaji minimum pada 30 April lalu dalam majlis yang dihadiri pekerja dan majikan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.


    Gaji minimum yang bakal dinikmati oleh pekerja sektor swasta ialah RM900 sebulan di Semenanjung, manakala Sabah, Sarawak dan Labuan mendapat RM800 sebulan. Pelaksanaannya berkuatkuasa enam bulan dari tarikh perintah Gaji Minimum diwartakan.


    Pelaksanaan itu membabitkan 3.2 juta pekerja sektor swasta selain memberi manfaat kepada tanggungan masing-masing. Kadar gaji minimum itu adalah hasil perundingan antara majikan dan pekerja dalam Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) yang dianggotai majikan, pekerja, penjawat awam, pakar dan ahli ekonomi.


    Tujuan utama gaji minimum ialah untuk memastikan pekerja mempunyai pendapatan terjamin yang mencukupi bagi membiayai keperluan asas sendiri dan keluarga selain sebagai pelindung sosial kepada pekerja bergaji rendah.


    Pelaksanaan gaji minimum itu secara tidak langsung turut dirasai bakal lepasan universiti kerana tentunya lulusan diploma dan ijazah bakal mendapat gaji jauh lebih lebih tinggi daripada itu. Mungkin lepasan diploma dibayar gaji pokok sekitar RM2,000, manakala ijazah sarjana muda RM2,500 hingga RM3,000 sebulan.


    Berbalik kepada laporan tahunan yang dibentangkan oleh Perdana Menteri itu, sejak pelancaran ETP pada 2010 sehingga akhir 2011, pelaburan langsung asing (FDI) telah meningkat sebanyak 12.3 peratus kepada RM33 bilion. Manakala pelaburan swasta pula telah menunjukkan peningkatan sebanyak 19 peratus kepada RM94 bilion.


    Penulis ialah Profesor Madya dan Timbalan Dekan, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia