Thursday, October 25, 2012

Kisah Sekumpulan Landak di Musim Sejuk

Landak
Pada zaman dahulu kala, tinggal sekumpulan landak di sebuah hutan. Mereka tinggal di situ dengan aman dan damai. Makanan mencukupi tanpa perlu merasa bimbang. Akan tetapi, ancaman lain pula yang bertandang. Kawasan itu seringkali dilanda musim sejuk melampau yang seringkali membunuh landak-landak berkenaan.

Suatu hari, musim sejuk bertandang. Kumpulan landak ini duduk rapat-rapat untuk mendapatkan haba masing-masing supaya tidak kesejukan. Apabila bertindih-tindih sebegitu, pasti ada diantara landak-landak tersebut yang akan terluka oleh bulu-bulu tajam yang mereka miliki. 

Oleh kerana tidak dapat menahan luka, ada yang menjauhkan diri dan menahan sejuk sendirian. Disebabkan itu, ramai diantara landak-landak itu yang mati kesejukan. Apabila melihat ramai rakan yang mati kesejukan, landak-landak itu kembali duduk rapat-rapat dan bertindih-tindih tanpa mempedulikan luka-luka akibat bulu tajam masing-masing. Mereka tetap begitu sehingga musim sejuk tersebut berakhir. 

Akhirnya, kumpulan landak-landak yang rela terluka akibat bulu-bulu tajam rakan lain boleh terus hidup untuk musim yang seterusnya; untuk kesekian kalinya. 

Melalui cerita ini, dapatlah disimpulkan begitulah ibarat hidup kita dalam bekerja atau bersahabat [semua perkara]. Tidak semua masa dan ketika akan merasa manisnya sahaja. Ada masanya kita akan merasa sakit dan tersinggung. Terluka dan dilukai adalah lumrah kehidupan. Segalanya untuk kita belajar tentang rasa kesyukuran. Kita terluka kerana kita disayangi. Mereka melukai jua kerana mereka sayang. Itulah kehidupan. Proses mematangkan diri supaya tidak mementingkan diri. 

No comments:

Post a Comment