Thursday, January 3, 2013

Tip Kerjaya: Gaji baru: Khabar gembira untuk lepasan universiti


Oleh: Dr Mohd Yahya Mohamed Ariffin (Disiar pada 3 Jan 2013)

PADA kesempatan ini, penulis ingin mengucapkan selamat menyambut Hari Pekerja kepada semua pekerja sama ada di sektor awam mahupun swasta yang disambut pada 1 Mei setiap tahun. Semoga ia menjadi dorongan untuk bekerja dengan lebih bersungguh-sungguh bagi meningkatkan produktiviti negara.


Jika kita berbalik pada 2 April lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak ketika melancarkan Laporan Tahunan Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) 2012 di Auditorium Perdana, Angkasapuri, Kuala Lumpur ada menekankan mengenai perlunya kerajaan menangani kos sara hidup rakyat negara ini yang dirasai semakin meningkat. 

Perdana Menteri menyebut, Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang memberi keutamaan ialah untuk menangani kos sara hidup yang semakin tinggi meliputi kakitangan sektor awam dan swasta negara ini. 



Sehubungan itu, pada tahun ini kerajaan menepati janjinya dengan pengumuman kenaikan gaji kepada kakitangan awam dan pelaksanaan gaji minimum untuk pekerja sektor swasta.


Pengumuman itu bukan saja melegakan hati pekerja kedua-dua sektor itu, malah turut menggembirakan perasaan pelajar universiti yang bakal menikmati skim gaji baru itu apabila ditawarkan kerja kelak.


Sektor awam



Di bawah NKRA antara tumpuan ialah mengumumkan kenaikan gaji 7 hingga 13 peratus serta penambahbaikan pada kenaikan gaji tahunan bagi 1.4 juta kakitangan sektor awam yang dilihat memanfaatkan hampir 4 juta orang rakyat Malaysia. Kenaikan itu merupakan sebahagian daripada penambahbaikan Skim Saraan Malaysia (SSM).

Penambahbaikan itu tentunya menarik minat lebih ramai golongan lepasan universiti untuk memohon sama ada jawatan yang memerlukan kelayakan ijazah sarjana muda atau diploma dalam pelbagai sektor dalam perkhidmatan awam.


Analisis semasa mendapati laman web Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) menyenaraikan sebanyak 91 jenis jawatan untuk pemegang ijazah pertama dan ke atas.


Contohnya, akauntan, arkitek, juru x-ray, juruukur, pegawai farmasi, pegawai perubatan, pegawai perancang bandar dan desa, pegawai sains, pegawai syariah dan pegawai kastam, manakala ada 79 jenis jawatan lain untuk lulusan diploma.


Antaranya, penolong pegawai perikanan, penolong pegawai perpustakaan, penolong pegawai tadbir, penolong pegawai veterinar, penolong pegawai teknologi makanan, jururawat dan setiausaha pejabat. Jawatan kosong itu terdapat dalam Perkhidmatan Awam Am Persekutuan, serta Perkhidmatan Awam Negeri Melaka, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Perlis.


Mulai Januari tahun ini, kerajaan telah membuat penambahbaikan pada SSM dengan memperkenalkan struktur gaji minimum-maksimum untuk gred lantikan dan kenaikan pangkat. Selain itu, kenaikan tahunan yang lebih baik untuk Gred 41 (kelulusan ijazah sarjana muda dengan kepujian) dan Gred 27/29 (diploma).


Pegawai juga terus menikmati pelbagai elaun seperti elaun tetap khidmat awam, elaun tetap perumahan dan elaun bantuan sara hidup, malah elaun kritikal turut diberikan kepada beberapa perkhidmatan kritikal seperti pegawai perubatan, ahli farmasi dan jurutera.


Sebagai contoh, Jurutera Gred 41 yang berkelulusan ijazah sarjana muda dengan kepujian menikmati gaji pokok permulaan pada RM2,359 dan elaun lain sekitar RM1,000 sebulan dengan kadar kenaikan tahunan sebanyak RM225. Ini bermakna dalam perkhidmatan awam, seorang jurutera yang baru bergraduasi menerima gaji lebih RM3,000 sebulan.


Sementara jururawat yang berkelulusan diploma (Gred 29) mendapat gaji permulaan sebanyak RM1,311 dan elaun sekitar RM700 sebulan, manakala kenaikan tahunan sebanyak RM145. Pada setiap bulan lepasan diploma kejururawatan membawa pulang lebih RM2,000.


Sektor swasta



Bagi sektor swasta, Perdana Menteri mengumumkan pelaksanaan gaji minimum pada 30 April lalu dalam majlis yang dihadiri pekerja dan majikan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.


Gaji minimum yang bakal dinikmati oleh pekerja sektor swasta ialah RM900 sebulan di Semenanjung, manakala Sabah, Sarawak dan Labuan mendapat RM800 sebulan. Pelaksanaannya berkuatkuasa enam bulan dari tarikh perintah Gaji Minimum diwartakan.


Pelaksanaan itu membabitkan 3.2 juta pekerja sektor swasta selain memberi manfaat kepada tanggungan masing-masing. Kadar gaji minimum itu adalah hasil perundingan antara majikan dan pekerja dalam Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) yang dianggotai majikan, pekerja, penjawat awam, pakar dan ahli ekonomi.


Tujuan utama gaji minimum ialah untuk memastikan pekerja mempunyai pendapatan terjamin yang mencukupi bagi membiayai keperluan asas sendiri dan keluarga selain sebagai pelindung sosial kepada pekerja bergaji rendah.


Pelaksanaan gaji minimum itu secara tidak langsung turut dirasai bakal lepasan universiti kerana tentunya lulusan diploma dan ijazah bakal mendapat gaji jauh lebih lebih tinggi daripada itu. Mungkin lepasan diploma dibayar gaji pokok sekitar RM2,000, manakala ijazah sarjana muda RM2,500 hingga RM3,000 sebulan.


Berbalik kepada laporan tahunan yang dibentangkan oleh Perdana Menteri itu, sejak pelancaran ETP pada 2010 sehingga akhir 2011, pelaburan langsung asing (FDI) telah meningkat sebanyak 12.3 peratus kepada RM33 bilion. Manakala pelaburan swasta pula telah menunjukkan peningkatan sebanyak 19 peratus kepada RM94 bilion.


Penulis ialah Profesor Madya dan Timbalan Dekan, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia

No comments:

Post a Comment