Tuesday, January 8, 2013

Kisah Datuk Temenggong Kanang Anak Langkau


Tak mati jantung kena peluru





TANGGAL 3 Januari lalu, negara dikejutkan dengan berita pemergian seorang pahlawan yang terkenal dengan sifat keberaniannya mempertahankan negara daripada ancaman komunis.
Datuk Temenggong Kanang Anak Langkau, 68, disahkan meninggal dunia di Hospital Umum Sarawak (HUS), pada pukul 1.45 pagi, dua jam selepas beliau dilaporkan rebah di rumahnya di Sungai Apong, Kuching, Sarawak.
Anak jati Sarawak yang dilahirkan di Julau pada 2 Mac 1945 itu meninggalkan seorang isteri, Datin Brawang Chunggot, 55, dan enam orang anak serta lapan cucu hasil perkahwinannya dengan isteri pertama, Helen Latai Intie yang meninggal dunia akibat kanser pada Januari 2011.
Mendiang berkesempatan meriwayatkan perjuangannya melalui beberapa wawancara dan pengkisahan perjuangannya, bagaimanapun filem yang bertajuk Kanang Anak Langkau belum sempat disiapkan semasa hayatnya.
Ditembak
Mendiang sebelum ini pernah disangka meninggal dunia apabila tidak sedarkan diri selama seminggu dan terlantar di hospital selama 14 bulan akibat terkena tembakan dalam pertempuran dengan komunis di hutan Tanah Hitam, Perak pada 8 Februari 1980.
Dalam kejadian itu, Kanang ditembak tiga kali dan hampir menemui ajal selepas peluru mengenai jantung, merosakkan satu buah pinggang, selain usus perut terburai.
Kanang yang bersara daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan pangkat terakhir sebagai Pegawai Waran 1 merupakan penerima tunggal dua pingat keberanian utama negara iaitu Seri Pahlawan Gagah Perkasa (SP) dan Panglima Gagah Berani (PGB).
Sebagai renjer yang terkenal dengan moto 'Agi idup agi ngelaban' (Berjuang selagi masih hidup), Kanang diingati sebagai perwira negara yang unggul dan tidak takut mati demi mempertahankan negara daripada ancaman komunis, selain terbabit dalam konfrontasi dan kekacauan di Brunei ketika berkhidmat dengan Tentera British.
KANANG menyertai bidang ketenteraan secara kebetulan ketika dipelawa oleh seorang tentera British.


Mengimbas sedikit latar belakang wira negara ini, Kanang merupakan anak kelima daripada enam orang adik-beradik. Ketika kecil, ibu bapanya berpisah dan beliau dipelihara oleh datuk dan neneknya.
Kanang yang berasal daripada komuniti Dayak (Iban) itu bersekolah hingga darjah tiga di Sekolah Local Authority sebelum melakukan pelbagai kerja seperti menjadi tukang masak, penoreh getah dan mengangkut penumpang dengan menggunakan perahu berenjin.
Beliau menjadi tentera secara kebetulan setelah dipelawa seorang anggota tentera British ketika menghantar 20 orang pemuda yang hendak menghadiri temu duga bagi menyertai Iban Tracker di sebuah sekolah berhampiran kampungnya.
Kanang kemudian diserap ke dalam Renjer Malaysia setahun selepas itu apabila Persekutuan Malaysia diisytiharkan pada 16 September 1963.
Pada awal 1962, beliau menyertai Jungle Warfare School di Ulu Tiram, Johor selama tiga bulan sebelum berkhidmat dengan unit 42nd Royal Marine Commandos yang berpangkalan di Johor.
Pada 1963, apabila Presiden Sukarno (ketika itu) melancarkan Konfrontasi Ganyang Malaysia, beliau antara anggota pasukan pertama dihantar ke Kota Tinggi, Johor untuk menghalang kemasukan tentera Indonesia.
Beliau juga pernah bertugas dengan unit 1st Royal New Zealand Army di Sarawak ketika zaman konfrontasi, kemudian berkhidmat dengan Sarawak Rangers yang akhirnya menjadi kumpulan trackers profesional pertama dalam 1st Ranger Regiment ATM.
Pada 19 Februari 1980, Platun Risik Gempur (UCIS) 8 Renjer diketuai Kapten Johnson Anak Meling dibantu oleh Kanang yang ketika itu berpangkat Sarjan, ditugaskan ke kawasan tanah hitam di Perak untuk menjejak segerombolan pengganas komunis yang menembak mati seorang anggota 25 RAMD (Rejimen Askar Melayu Diraja) beberapa hari sebelumnya.
Pada mula operasi itu, Kanang berjaya mengesan jerangkap samar, tetapi digempur musuh sehingga cedera parah di perut dan belakang. Namun dengan semangat waja demi mempertahankan negara, beliau tidak menyerah kalah, sebaliknya terus bersabung nyawa melawan musuh.
Mengenang jasanya membunuh musuh tanpa menghiraukan kecederaannya, Kanang dianugerah Pingat SP pada 3 Jun 1981 manakala pingat PGB pada 7 Jun 1987.


GAMBAR kenangan Kanang (depan, duduk kiri) semasa bertugas di Jambatan Nyulong Sarikei, Sarawak.



Kanang meneruskan khidmat sebagai jurulatih di Sekolah Tempur Pegawai Muda dan pada 1 Mei 1981, beliau dinaikkan pangkat sebagai Staf Sarjan dan seterusnya menjadi Kuatermaster Sarjan.
Pada 1 Oktober 1980, dia dinaikkan pangkat sebagai Pegawai Waran II dan Pegawai Waran I pada 17 Ogos 1985. Kanang bersara pada 30 Mei 1986 selepas berkhidmat selama 21 tahun.
Bagi mengisi masa terluang, beliau aktif memberikan ceramah kenegaraan di seluruh negara selain dilantik sebagai Temenggong Bahagian Sri Aman pada 2009.
Antara sumbangan utama beliau selepas bersara ialah menjayakan Ops Mai Pulai (Ops Bawa Balik).
Melalui operasi berkenaan, rangka 21 anggota Iban Trackers dan Sarawak Rangers yang terkorban di Semenanjung dan Singapura ketika menentang komunis sekitar 1948 hingga 1963 dibawa balik ke Sarawak untuk dikebumikan di Makam Pahlawan, Kuching pada 27 Julai 2011.
Wirawan contoh
Pencetus idea berkenaan, Leftenan Kolonel (B) Robert Rizal Abdullah berkata, Kanang memainkan peranan penting dalam usaha itu malah menganggotai jawatankuasanya sejak 2009.
Katanya, Kanang merupakan seorang yang komited walaupun operasi berkenaan pada mulanya hampir menemui kebuntuan sebelum penglibatan Kerajaan Negeri Sarawak.
"Dia seorang yang amat bertanggungjawab dan kita berikannya peranan untuk melaksanakan tugas-tugas khas. Tanpa Kanang, mungkin operasi itu tidak akan berjaya.
"Kanang juga mengetuai operasi penggalian kubur-kubur pejuang terbabit di Kuala Lumpur dan Taiping, Perak malah menyempurnakan upacara khas 'Miring Nyambut Bujang Berani Turun Sembilan'," ujarnya.
Kanang disifatkan sebagai seorang wirawan contoh yang mengukir nama dengan darah serta air mata.
Menurut penulis buku biografi Kanang: Cerita Seorang Pahlawan, Mejar (B) Dr. Maznan Noordin, tidak akan ada manusia seperti Kanang selepas ini kecuali jika berlaku lagi peperangan di negara ini.
Jelas beliau, Kanang adalah ikon patriotisme yang akan abadi di hati rakyat buat selamanya kerana sanggup mengorbankan nyawa demi menyelamatkan maruah dan kedaulatan negara.
"Mendiang dan anggota tentera lain begitu berani dan bersemangat apabila berdepan dengan musuh, ini digambarkan dalam Operasi Pukat yang mana Kanang berjuang habis-habisan menentang pengganas komunis.
"Mendiang telah cedera parah ketika bertempur dengan pengganas komunis, namun Kanang meminta rakan-rakan dalam pasukannya meneruskan perjuangan menentang kumpulan pengganas berkenaan.


MAYAT Kanang yang meninggal dunia akibat sakit jantung 3 Januari lalu diberi penghormatan negara.



"Selepas bersara, Kanang meneruskan kehidupan yang sederhana sebagai petani dan isterinya berniaga secara kecil-kecilan untuk menampung perbelanjaan keluarga. Walaupun kehidupannya agak perit selepas bersara, mendiang bersyukur kerana semua pihak menghargai setiap pengorbanan yang telah dicurahkannya kepada negara," ujarnya.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0106&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm#ixzz2HMJGEyjM  

No comments:

Post a Comment