Orang
Melayu melihat keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) dari sudut pemikiran
dan kepentingan orang Melayu manakala masyarakat Cina pula melihatnya dari
sudut pandangan mereka. Jika ini dianggap sebagai polarisasi kaum, ia adalah
perkara yang sangat nyata. Apabila sesuatu kaum bertindak atau membuat
keputusan atas kepentingan kaumnya semata-mata, wujud suasana polarisasi tidak
sihat. Dalam suasana yang penuh rahsia, akan wujud kekaburan maklumat yang
menyebabkan banyak berita angin yang boleh memberi kesan kepada faktor
keharmonian, keselamatan dan sebagainya.
Bagaimanapun, persepsi atau sudut pandangan mengenai kaum ini bukanlah terbatas
kepada masyarakat Melayu dan Cina semata-mata. Cuma, perbezaan kedua-dua kaum
inilah dilihat sebagai isu paling dominan dalam PRU-13 ini. Masyarakat India,
Sikh dan kaum lain, termasuk etnik di Sabah dan Sarawak juga melihat PRU-13
dari sudut pandangan mereka yang mungkin berbeza dengan rakyat di Semenanjung
Malaysia. Di kedua-dua negara itu, isu perkauman hampir tidak wujud kerana
mereka boleh tinggal serumah walaupun berbeza etnik, bangsa dan agama.
Begitu
juga golongan peniaga dari aspek perniagaan, pengguna pula mempunyai pandangan
sendiri hingga ada yang bertindak mahu memboikot perniagaan kaum lain, pelabur
dari aspek keyakinan mereka untuk menanam modal, orang muda dari kaca mata
orang muda dan seterusnya. Orang politik pula melihat situasi ini dari sudut
politik masing-masing, DAP menganggap mereka tidak cauvinis sedangkan pihak
lain menganggap parti itulah yang meniup api perkauman di Malaysia.
Perdana Menteri untuk semua
Ada
kumpulan yang menerima keputusan PRU-13 secara emosional dan ada golongan yang
melihatnya secara praktikal. Dalam kekalutan panca pilihan raya ini, Datuk Seri
Najib menegaskan bahawa beliau adalah Perdana Menteri untuk semua kaum di
negara ini. Maknanya, walaupun wujud pelbagai pendapat, pandangan, pergeseran,
tohmahan dan sebagai, Najib tetap yakin bahawa akhirnya semua rakyat
mengharapkan kedamaian dan hidup dalam suasana harmoni.
Mungkin,
pada Najib, jika dilayan semua pandangan ini, banyak masa akan dibuang dan
matlamat untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju, hanya tujuh
tahun lagi akan kecundang. Pemikiran ini jelas membuktikan ciri-ciri dan
kualiti kepemimpinan seorang Perdana Menteri yang menjurus kepada keperibadian
seorang negarawan. Sudah tentunya beliau tidak mahu penerima terhadap konsep
1Malaysia yang diperkenalkannya hanya mampu bertahan separuh jalan. Ini adalah
dugaan dan cabaran yang perlu dihadapinya.
Sebagai pemimpin Melayu dan menerajui sebuah organisasi Melayu, UMNO, sebenar
Najib berani membuat kenyataan yang tidak memihak walaupun tahu bahawa ia
mungkin tidak disenangi oleh segelintir ahli UMNO dan orang Melayu. Beliau
pastinya tahu bahawa dalam suasana emosi yang memuncak akibat kecewa dengan
keputusan PRU-13 yang tidak seperti diharapkan, Najib tidak berselindung
mengatakan bahawa UMNO bukan parti rasis kerana ia sentiasa memberi keadilan
kepada semua rakyat tanpa mengira kaum di negara ini. Orang UMNO kecewa dengan
masyarakat Cina kerana walaupun kerajaan sudah banyak berkorban dan melayani
pelbagai tuntutan mereka, mereka tetap tidak mengundi calon BN. Trend
menunjukkan orang Cina menyokong DAP dan calon parti dalam pakatan pembangkang
lain.
Bagi Najib, rakyat pada pelbagai peringkat bebas mempunyai pandangan
tersendiri, sekurang-kurangnya untuk satu ketika, tetapi perlu kembali kepada
realiti bahawa Malaysia adalah sebuah negara masyarakat berbilang kaum, tradisi
dan adat budaya serta perbezaan agama. Bagi kebanyakan rakyat, mereka melihat
pasca PRU dalam lingkungan jangka pendek, tetapi Najib melihat kemungkinan yang
akan terjadi pada PRU-14 jika perbalahan yang wujud hari ini tidak ditangani
dengan baik.
Diselesaikan secara berhemah
Sepatutnya, isu pilihan raya sudah boleh diselesaikan secara berhemah selepas
proses pasca pilihan raya seperti pembentukan kerajaan dan kerajaan negeri,
majlis mengangkat sumpah anggota Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)
dan sebagainya, selesai. Cuma, walaupun semua proses berkenaan berjalan lancar,
pembangkang masih tidak puas hati dengan keputusan PRU-13 dan cuba mencari
pelbagai kesilapan. Bantahan pula dilakukan menerusi perhimpunan haram di
merata tempat yang dirancang.
Pembangkang yang dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim jangan fikir mereka saja
tidak berpuas hati. Dalam kalangan calon BN yang kalah dan pengikut mereka juga
tidak puas hati dengan keputusan kerana mereka yakin akan menang. Mereka juga
mempunyai alasan tersendiri untuk merungut tetapi disebabkan hormat kepada
keputusan yang dibuat secara demokrasi, ia terhenti begitu saja. Perhimpunan
pembangkang secara besar-besaran yang diadakan di merata tempat tidak boleh melambangkan
kekuatan atau sokongan padu rakyat terhadap DAP, PAS dan PKR.
Ramai juga rakyat yang marah dengan tindakan mereka, seolah-olah tidak boleh
menerima kekalahan. Jika pembangkang boleh menerima kemenangan di 89 kerusi
Parlimen dan 230 kerusi DUN, mereka sepatutnya boleh menerima kekalahan di
kerusi lain yang ditandingi. Pembangkang tidak mempersoalkan kemenangan mereka
di Selangor, Kelantan dan Pulau Pinang, sebaliknya mereka mencari kesalahan di
tempat lain dan dirasakan mempunyai motif tertentu. BN dapat menawan semula
Kedah. Hanya orang yang berfikiran keanak-anakan saja yang tidak mahu menerima
kekalahan.
Sumber: BH (19/05/2013)