7 batalion ATM  bantu polis
Tentera kini bertindak sebagai barisan kedua

Kuala Lumpur: Sebanyak tujuh batalion tentera dikerah bagi membantu pasukan polis menghadapi penceroboh di Sabah, kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menerusi laman Twitter, beliau berkata daripada jumlah itu, lima batalion dihantar ke Lahad Datu, manakala dua batalion lagi masing-masing di Tawau dan Sandakan. 
“Untuk maklumat penduduk Sabah, saya ingin maklumkan bahawa Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan membantu polis sepenuhnya dalam menangani krisis ini. 


“ATM sudah menghantar tujuh batalion yang sedang beroperasi sekarang. Lima batalion di Lahat Datu, satu batalion di Sandakan dan satu batalion di Tawau,” katanya.

Barisan kedua

Sementara itu, Timbalannya, Datuk Dr Abdul Latif Ahmad, berkata ATM kini bertindak sebagai barisan kedua dalam membantu mengawal keselamatan di pantai timur Sabah berikutan insiden pencerobohan kumpulan bersenjata yang setakat ini mengorbankan lapan anggota keselamatan dan 19 anggota kumpulan itu.

Katanya, ketika ini ATM bertindak sebagai barisan kedua bagi meyakinkan tahap keselamatan rakyat negeri itu. 
ATM siap siaga

“Sekarang ini ia (insiden) di bawah Kementerian Dalam Negeri, PDRM (Polis Diraja Malaysia) yang diberi kuasa untuk menangani atau ketuai situasi itu.

“Buat masa ini, kami (ATM) hanya dalam keadaan siap siaga. Apabila suruh ambil alih, kami ambil alih,” katanya pada sidang akhbar selepas pelancaran buku Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) di Kementerian Pertahanan di sini semalam.