Saturday, July 21, 2012

Isu Penempatan Graduan Pendidikan IPTA 2012


Kenyataan Media Mengenai Isu Penempatan Graduan Pendidikan IPTA, 27 April 2012


KENYATAAN MEDIA 

YAB TIMBALAN PERDANA MENTERI 

MERANGKAP MENTERI PELAJARAN 

MENGENAI ISU PENEMPATAN GRADUAN PENDIDIKAN 

INSTITUT PENGAJIAN TINGGI AWAM

Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) amat prihatin dengan masalah yang 
dihadapi oleh graduan pendidikan di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) 
dan telah mengambil langkah-langkah prakmatik dalam menyelesaikan soal
penempatan mereka di sekolah-sekolah KPM.

Beberapa ketetapan dan penyelarasan telah dibuat bagi memastikan graduan 
ISMP yang belum ditempatkan dapat diserapkan di sekolah-sekolah bermula Mei ini.

Seramai 5,510 graduan IPTA telah mendapat panggilan temuduga dari 
Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) mulai Januari tahun ini. Proses
 temuduga telah diadakan secara berfasa. 

Seramai 4,953 graduan telah hadir dan dari jumlah tersebut SPP terpaksa 
menolak 32 graduan kerana gagal mengemukakan dokumen lengkap sementara 
557 calon dianggap menolak tawaran temuduga apabila mereka tidak menghadirkan 
diri pada hari temuduga itu dijalankan.

Seramai 4,859 graduan telah berjaya dalam temuduga manakala 62 graduan 
telah gagal kerana tidak memenuhi empat (4) elemen yang dinilai iaitu keterampilan 
diri dan sikap, keupayaan berfikir dan kemahiran berkomunikasi, pengetahuan am 
dan isu semasa pendidikan serta pengetahuan bidang tugas.

Bagi sejumlah 4,859 graduan yang berjaya dalam temuduga, 29 graduan telah 
diberi penempatan ke Pusat Anak Permata Negara pada 8 April lalu.

Baki 4,830 graduan pula akan diberi penempatan secara berfasa. Penempatan 
Fasa 1 akan dilaksanakan pada 23 Mei 2012 dengan melibatkan 4,671 graduan.

Daripada jumlah itu, seramai 4,116 graduan akan ditempatkan di Sekolah Menengah, 
439 akan ditempatkan di Sekolah Kebangsaan, 98 di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina 
(SJKC) dan 18 di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT). 

Baki 159 pula akan ditempatkan di Sekolah Menengah dalam Penempatan Fasa 2 
pada bulan Julai 2012 . 

Pecahan graduan ISMP mengikut IPTA adalah seperti berikut :
Universiti Utara Malaysia (90), Universiti Sains Malaysia (368), 
Universiti Teknologi Malaysia (185), Universiti Perguruan Sultan Idris (3,017), 
Universiti Pertanian Malaysia (482), Universiti Malaya (308), 
Universiti Sains Islam Malaysia (54), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (105), 
Universiti Kebangsaan Malaysia (330), Universiti Teknologi Mara (132), 
Universiti Islam Antarabangsa (53) dan Universiti Malaysia Sabah (214).

Pada Januari 2012, KPM telah melantik 2,397 graduan IPTA daripada 
5,510 graduan sebagai Guru Interim bagi memenuhi keperluan pengisian
guru-guru di Sekolah Menengah. Berikutan penempatan ini, perkhidmatan 
Guru Interim tersebut akan ditamatkan. Walaubagaimanapun, Guru Interim 
yang berjaya temuduga akan ditempatkan dan dilantik sebagai Pegawai 
Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS) pada 23 Mei 2012 berdasarkan 
keperluan pengisian mengikut opsyen pengajaran di Sekolah Menengah, 
Sekolah Kebangsaan, SJKC dan SJKT.

Guru Interim adalah guru yang dilantik oleh Jabatan Pelajaran Negeri bagi 
mengisi kekosongan sementara di sekolah-sekolah KPM. Perkhidmatan 
mereka adalah sehingga akhir tahun 2012 dan boleh ditamatkan dengan 
notis sebulan apabila terdapat bekalan guru tetap yang diterima dari SPP.

Status Graduan Pendidikan Institut Pendidikan Guru (IPG)
• Pada Jun 2012, terdapat 2,484 graduan J-QAF keluaran IPG 
untuk ditempatkan di Sekolah Kebangsaan. Kesemua mereka akan 
melalui urusan temuduga pelantikan sebagai PPPS oleh SPP terlebih 
dahulu sebelum penempatan diuruskan.

Status Graduan Institut Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) 
• Bagi graduan IPTS, urusan temuduga dan pengambilan tidak dilaksanakan 
pada masa ini kerana KPM memberi keutamaan kepada graduan IPTA 
yang mana pengambilan mereka mengikuti bidang pendidikan yang 
telah diunjurkan lebih awal oleh KPM kepada Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia. 
Graduan IPG pula diberi keutamaan disebabkan latihan mereka dalam 
bidang pendidikan adalah tajaan KPM. 

Graduan boleh melayari laman web Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran 
www.spp.gov.my untuk mengetahui samada mereka berjaya atau t
idak. Keputusan penempatan akan diumumkan oleh KPM dalam sedikit masa lagi. 

Saya berharap kenyataan media ini dapat menerangkan dengan jelas 
kedudukan ISMP IPTA. Kepada yang telah berjaya di dalam temuduga 
dan akan diberikan penempatan di sekolah-sekolah Kementerian Pelajaran Malaysia, 
saya ucapkan tahniah. Semoga anda semua akan menjadi Guru yang berdedikasi 
dan dapat berbakti kepada negara. Kepada yang gagal pula, masih ada lagi 
ruang untuk terus berusaha.

YAB TAN SRI MUHYIDDIN HJ. MOHD YASSIN
Timbalan Perdana Menteri 
Merangkap Menteri Pelajaran

Sumber / Pautan:

No comments:

Post a Comment