Wednesday, September 19, 2012

Pentaksiran & Penilaian Perkembangan Awal Kanak-Kanak


Kementerian Pendidikan Malaysia (2003), dalam menghuraikan kurikulum prasekolah menyatakan bahawa pentaksiran dan penilaian perkembangan kanak-kanak prasekolah adalah sebahagian daripada proses pengajaran dan pembelajaran yang perlu dijalankan secara berterusan. Selain bertujuan mengenal pasti pelbagai kecerdasan dan potensi untuk diberi pengukuhan dan dipertingkatkan di dalam kesemua domain- domain kognitif, afektif dan psikomotor, penilaian tersebut juga memberi maklumat untuk menentukan pencapaian sesuatu objektif dan hala tuju pengajaran dan pembelajaran.

Disamping itu, dengan membandingkan perkembangan kanak-kanak mengikut tahap yang seharusnya patut dicapai pada peringkat-peringkat tertentu mengikut umur membolehkan guru, memilih dan merancang pengalaman pembelajaran yang bersesuaian dengan keperluan kanak-kanak. Proses pemerhatian, mengenal pasti, mengumpul dan menganalisis rekod perkembangan kanak-kanak membolehkan guru memahami perkembangan serta kemajuan pembelajaran kanak-kanak.

Dari sisi yang lain, pengetahuan yang terhad dalam aspek pentaksiran dan penilaian perkembangan kanak–kanak perlu didalami dan difahami oleh guru prasekolah bukan sekadar berunsurkan teori dan mengetepikan ataupun memperlekehkan pengaplikasian teori. Bakal guru perlu diberi pendedahan kepada input yang dapat merealisasikan matlamat pelaksanaan penilaian. Kanak–kanak mempunyai repertoir tingkah laku yang terhad bagi dinilai. Justeru, guru perlu didedahkan kepada pelbagai alat pentaksiran pemerhatian daripada segi teori dan pratikal seperti rekod anekdot dapat menjamin bakal guru benar-benar faham bentuk penilaian yang perlu dijalankan di peringkat prasekolah dan tidak mengambil jalan mudah dengan menggunakan ujian-ujian yang hanya menguji perkembangan kognitif kanak–kanak (Saayah Abu, Siti Saleha Samsuri  & Surayah Zaidon, 2006).

Kesimpulannya, pentaksiran dan penilaian pendidikan awal kanak-kanak seharusnya dilakukan sebaik mungkin untuk memastikan perkembangan dan potensi kanak-kanak boleh dikembangkan dan digilap. Sikap “ambil mudah” dan “melepaskan batuk ditangga” seharusnya dikikis. Ini kerana peringkat pendidikan awal kanak-kanak merupakan akar kepada perkembangan dan pertumbuhan kanak-kanak. Jika tersilap langkah pada peringkat akar, akibatnya akan musnahlah generasi dan masa depan negara.

Ekoran itu, portfolio kanak-kanak Prasekolah dilihat sebagai satu dokumentasi penting yang dapat menceritakan dan memerihalkan perkembangan kanak-kanak sepanjang mengikuti program prasekolah. Oleh sebab itu portfolio seharusnya digunakan sepenuhnya dalam menilai perkembangan yang dialami oleh kanak-kanak. Namun, jika pelaksanaannya sekadar sebagai satu fail untuk mengumpul hasil kerja kanak-kanak. Ini merupakan satu kerugian yang besar bukan sahaja kepada kanak-kanak tetapi juga keseluruhan pelaksanaan program prasekolah. Pelaksanaan portfolio yang bertepatan adalah penting bagi menjamin perkembangan kanak-kanak dinilai dengan berkesan dan dapat membantu perkembangan kanak-kanak. 

1 comment:

  1. Thank you for your Notes. it really helps me to do some revision. wish me luck on my exam soon.

    #Sem12OUM

    ReplyDelete