Saturday, May 4, 2013

Pendekatan Projek di Prasekolah


Kanak-kanak mempunyai sifat semulajadi ingin meneroka. Mereka juga mempunyai sifat ingin tahu yang kuat. Pelbagai persoalan muncul di fikiran mereka yang memerlukan jawapan. Oleh itu mereka cenderung untuk bertanya, suka meneroka dan mencuba sesuatu yang baru untuk mengetahuai serta mengenali perkara atau fenomena di sekeliling mereka.

Oleh sebab itu, ramai pakar pendidikan kanak-kanak seperti Chard (1998), Katz (2008) serta Bustam Kamri dan Putri Zabariah (2006) berpendapat bahawa Pendekatan Projek boleh dijadikan sebagai satu medium untuk memberikan pengajaran dan pembelajaran yang bermakna kepada kanak-kanak. Ini kerana Pendekatan Projek atau Project Approach merupakan satu pendekatan yang membolehkan kanak-kanak untuk meneroka serta melakukan penyiasatan secara langsung.

Melalui pelaksanaan Pendekatan Projek, kanak-kanak berkesempatan melakukan penyiasatan dengan penglibatan aktif yang secara keseluruhannya akan memberikan pengalaman sebenar (real world experience) kepada kanak-kanak itu sendiri. Pengalaman ini penting bagi kanak-kanak mengenali alam di sekeliling mereka yang penuh dengan pelbagai fenomena dan kejadian yang memerlukan jawapan.

Menurut Katz (2007), memberi kanak-kanak peluang melaksanakan projek bertujuan untuk melibatkan kanak-kanak dalam pembelajaran yang aktif. Ini sangat diberi penekanan oleh Katz (2007) dengan menyatakan Pendekatan Projek adalah “intellectually engaged, intellectually challenged and involved in sustained investigations” (dalam Lim Keat Heng & Awang Salleh, 2012). 

No comments:

Post a Comment