Sunday, May 5, 2013

Blues, Benfica buat perhitungan


LONDON - Pengurus sementara Chelsea, Rafael Benitez berharap penyokong Chelsea dapat menunjukkan sedikit penghargaan buat dirinya selepas membawa The Blues mara ke perlawanan akhir Liga Europa buat kali pertama dengan menyingkirkan kelab Switzerland, FC Basel.

Chelsea bangkit menemui rentak semasa berdepan Basel pada separuh akhir kedua di Stamford Bridge untuk menang 3-1 dan 5-2 secara agregat.

Pengurus dari Sepanyol itu sukar menambat hati penyokong Chelsea sejak menggantikan Roberto Di Matteo, November lalu tetapi dia pasti akan disanjung jika mampu meraih trofi Liga Europa menewaskan Benfica yang mengalahkan Fenerbahce dengan agregat 3-2 dalam sau lagi saingan separuh akhir.

Dalam saingan domestik, Chelsea masih dalam pemburuan mencari tiket ke Liga Juara-Juara.
''Melalui pelbagai masalah dan suasana pada permulaan musim termasuk kehadiran pemain-pemain baru, skuad ini masih dalam proses penyesuaian, ia memang sukar tetapi kami telah melakukan tugasan dengan bagus.

''Kami tidak mempunyai banyak masa kerana bermain dua perlawanan dalam tempoh seminggu, namun kami telah melakukannya dengan cemerlang, jadi saya harap mereka menghargai kejayaan ini.

''Pasukan ini cukup profesional dalam melaksanakan tugasan mereka, semenjak kalah kepada Swansea (separuh akhir Piala Liga), kami menang 11 daripada 13 perlawanan di tempat sendiri," kata Benitez.

Selepas Fernando Torres menyamakan kedudukan jaringan yang sebelum itu dihasilkan Mohamed Salah, Victor Moses memastikan kedudukan 2-1 sebelum David Luiz mengesahkan tempat di perlawanan akhir dengan jaringan menarik dari jarak 25 meter.

Gol itu hampir menyamai cara jaringan semasa Chelsea menang 3-0 ke atas Fulham dan Benitez memuji cara permainan bintang dari Brazil berkenaan.

''Saya cukup gembira melihat cara permainannya kerana semenjak saya tiba di sini, saya ada bercakap dengan Luiz dan memberikan keyakinan kepada dirinya, nampaknya dia telah berikan sesuatu yang istimewa kepada pasukan.

''Dia mampu menjaringkan gol melalui kedua-dua belah kaki, kiri dan kanan. Itu menunjukkan betapa cemerlang permainannya malahan dia mampu beraksi lebih baik lagi," katanya,

Dalam masa sama, Benitez mengakui yang Chelsea perlu bimbangkan pendahulu Liga Portugal, Benfica yang akan ditemui di Amsterdam Arena dalam tempoh dua minggu lagi.

''Ini adalah peluang terbaik kepada kelab namun bertemu Benfica, ia pasti sukar kerana mereka sebuah pasukan yang bagus.

''Namun kami telah berada di pentas akhir jadi semua pemain perlu mempamerkan kualiti serta komitmen, sudah tentu kami berpeluang," katanya. - AFP

Artikel Penuh:

No comments:

Post a Comment