Wednesday, May 22, 2013

Najib dan Pasca PRU13


Orang Melayu melihat keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) dari sudut pemikiran dan kepentingan orang Melayu manakala masyarakat Cina pula melihatnya dari sudut pandangan mereka. Jika ini dianggap sebagai polarisasi kaum, ia adalah perkara yang sangat nyata. Apabila sesuatu kaum bertindak atau membuat keputusan atas kepentingan kaumnya semata-mata, wujud suasana polarisasi tidak sihat. Dalam suasana yang penuh rahsia, akan wujud kekaburan maklumat yang menyebabkan banyak berita angin yang boleh memberi kesan kepada faktor keharmonian, keselamatan dan sebagainya.

Bagaimanapun, persepsi atau sudut pandangan mengenai kaum ini bukanlah terbatas kepada masyarakat Melayu dan Cina semata-mata. Cuma, perbezaan kedua-dua kaum inilah dilihat sebagai isu paling dominan dalam PRU-13 ini. Masyarakat India, Sikh dan kaum lain, termasuk etnik di Sabah dan Sarawak juga melihat PRU-13 dari sudut pandangan mereka yang mungkin berbeza dengan rakyat di Semenanjung Malaysia. Di kedua-dua negara itu, isu perkauman hampir tidak wujud kerana mereka boleh tinggal serumah walaupun berbeza etnik, bangsa dan agama.

Begitu juga golongan peniaga dari aspek perniagaan, pengguna pula mempunyai pandangan sendiri hingga ada yang bertindak mahu memboikot perniagaan kaum lain, pelabur dari aspek keyakinan mereka untuk menanam modal, orang muda dari kaca mata orang muda dan seterusnya. Orang politik pula melihat situasi ini dari sudut politik masing-masing, DAP menganggap mereka tidak cauvinis sedangkan pihak lain menganggap parti itulah yang meniup api perkauman di Malaysia. 

Perdana Menteri untuk semua 
Ada kumpulan yang menerima keputusan PRU-13 secara emosional dan ada golongan yang melihatnya secara praktikal. Dalam kekalutan panca pilihan raya ini, Datuk Seri Najib menegaskan bahawa beliau adalah Perdana Menteri untuk semua kaum di negara ini. Maknanya, walaupun wujud pelbagai pendapat, pandangan, pergeseran, tohmahan dan sebagai, Najib tetap yakin bahawa akhirnya semua rakyat mengharapkan kedamaian dan hidup dalam suasana harmoni.

Mungkin, pada Najib, jika dilayan semua pandangan ini, banyak masa akan dibuang dan matlamat untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju, hanya tujuh tahun lagi akan kecundang. Pemikiran ini jelas membuktikan ciri-ciri dan kualiti kepemimpinan seorang Perdana Menteri yang menjurus kepada keperibadian seorang negarawan. Sudah tentunya beliau tidak mahu penerima terhadap konsep 1Malaysia yang diperkenalkannya hanya mampu bertahan separuh jalan. Ini adalah dugaan dan cabaran yang perlu dihadapinya.

Sebagai pemimpin Melayu dan menerajui sebuah organisasi Melayu, UMNO, sebenar Najib berani membuat kenyataan yang tidak memihak walaupun tahu bahawa ia mungkin tidak disenangi oleh segelintir ahli UMNO dan orang Melayu. Beliau pastinya tahu bahawa dalam suasana emosi yang memuncak akibat kecewa dengan keputusan PRU-13 yang tidak seperti diharapkan, Najib tidak berselindung mengatakan bahawa UMNO bukan parti rasis kerana ia sentiasa memberi keadilan kepada semua rakyat tanpa mengira kaum di negara ini. Orang UMNO kecewa dengan masyarakat Cina kerana walaupun kerajaan sudah banyak berkorban dan melayani pelbagai tuntutan mereka, mereka tetap tidak mengundi calon BN. Trend menunjukkan orang Cina menyokong DAP dan calon parti dalam pakatan pembangkang lain.

Bagi Najib, rakyat pada pelbagai peringkat bebas mempunyai pandangan tersendiri, sekurang-kurangnya untuk satu ketika, tetapi perlu kembali kepada realiti bahawa Malaysia adalah sebuah negara masyarakat berbilang kaum, tradisi dan adat budaya serta perbezaan agama. Bagi kebanyakan rakyat, mereka melihat pasca PRU dalam lingkungan jangka pendek, tetapi Najib melihat kemungkinan yang akan terjadi pada PRU-14 jika perbalahan yang wujud hari ini tidak ditangani dengan baik.

Diselesaikan secara berhemah
Sepatutnya, isu pilihan raya sudah boleh diselesaikan secara berhemah selepas proses pasca pilihan raya seperti pembentukan kerajaan dan kerajaan negeri, majlis mengangkat sumpah anggota Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan sebagainya, selesai. Cuma, walaupun semua proses berkenaan berjalan lancar, pembangkang masih tidak puas hati dengan keputusan PRU-13 dan cuba mencari pelbagai kesilapan. Bantahan pula dilakukan menerusi perhimpunan haram di merata tempat yang dirancang.

Pembangkang yang dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim jangan fikir mereka saja tidak berpuas hati. Dalam kalangan calon BN yang kalah dan pengikut mereka juga tidak puas hati dengan keputusan kerana mereka yakin akan menang. Mereka juga mempunyai alasan tersendiri untuk merungut tetapi disebabkan hormat kepada keputusan yang dibuat secara demokrasi, ia terhenti begitu saja. Perhimpunan pembangkang secara besar-besaran yang diadakan di merata tempat tidak boleh melambangkan kekuatan atau sokongan padu rakyat terhadap DAP, PAS dan PKR.

Ramai juga rakyat yang marah dengan tindakan mereka, seolah-olah tidak boleh menerima kekalahan. Jika pembangkang boleh menerima kemenangan di 89 kerusi Parlimen dan 230 kerusi DUN, mereka sepatutnya boleh menerima kekalahan di kerusi lain yang ditandingi. Pembangkang tidak mempersoalkan kemenangan mereka di Selangor, Kelantan dan Pulau Pinang, sebaliknya mereka mencari kesalahan di tempat lain dan dirasakan mempunyai motif tertentu. BN dapat menawan semula Kedah. Hanya orang yang berfikiran keanak-anakan saja yang tidak mahu menerima kekalahan.

Sumber: BH (19/05/2013)

No comments:

Post a Comment